Ketua editor Otai Sukan telah berkesempatan menemubual Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League, Giorgio Pompili Rossi mengenai dakwaan ejen bolasepak dari Korea Selatan, Myeongho Jeo terhadap Kelantan Darul Naim (KDN FC).
Pendedahan dibuat Myeongho mencuri tumpuan penyokong bolasepak tanah air, apabila dia menyabitkan kelab itu dengan beberapa salah laku terutama berhubung tunggakan gaji dan pemain tidak diberikan visa sehinggakan terpaksa tinggal di Malaysia sebagai pendatang tanpa izin sekaligus melabel Liga Malaysia sebagai liga paling teruk di dunia.

Dia juga mendedahkan sewa rumah serta ansuran kereta juga tidak dibayar menyebabkan ada pemain telah dihalau keluar, diskriminasi perkauman terhadap pemain-pemain Korea, selain meluahkan kecewa terhadap Presiden KDN FC Rozi Muhamad yang bersikap bacul melarikan diri dan tidak cuba menyelesaikan masalah.
Ia jelas mencemarkan imej MFL selaku badan pentadbir Liga Malaysia, dan memberi tanggapan buruk kepada arena bolasepak negara apatah lagi Myeongho sedia membawa perkara ini ke pengetahuan FIFA.
Sebagai reaksi balas kepada isu-isu dibangkitkan, ini jawapan Rossi yang memberi jaminan MFL akan mengambil tindakan.
“Sebenarnya pada waktu pendaftaran, kita (MFL) mesti menerima bukti permohonan visa, yang mana diserahkan oleh pihak kelab. Tetapi selepas itu kita tiada akses untuk mengetahui statusnya. Ini bermakna hanya kelab yang terbabit dan pejabat imigresen sahaja yang tahu perkembangan terkini permohonan visa.
“Tetapi kini (setelah pendedahan oleh Myeongho), MFL akan akan menyiasat situasi ini dengan meminta kelab untuk menyediakan update semasa,” ujar Rossi. Begitupun dia berpendapat Myeongho terlalu ikutkan emosi apabila melabel Liga Malaysia adalah liga terburuk.
“Secara umumnya, saya rasa ia tidak adil untuk mengatakan MFL (bolasepak Malaysia) adalah terburuk, meskipun saya memahami kekecewaan, kemarahan dan kebimbangan yang mahu disampaikan ejen berkenaan. Ini kerana tidak semua kelab atau pemain berada dalam situasi sama. Jadi seperti saya kata, MFL mengambil maklum isu ini secara serius dan akan menyiasat secara teliti,” tambahnya.