Mengenali lebih rapat ikon fesyen di Malaysia, yang telah menjadi inspirasi kepada ramai wanita muslimah, Datin Vivy Sofinas Yusof atau lebih dikenali ramai sebagai Vivy Yusof.
Lahir pada 11 Disember 1987, Vivy Yusof berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari London School of Economics.
Beliau adalah anak bongsu daripada dua adik-beradik kepada pasangan Dato’ Yusof Jusoh dan dan Datin Aishah Jelani.
Pada tahun 2012, Vivy Yusof menamatkan zaman bujangnya bersama rakan sekolej, Fadzaruddin Shah Anuar.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu Daniel Azim Shah (2013), Mariam Iman Shah (2015), Sarah Ilham Shah (2018), dan Idris Ali Shah (2021).
Kerjaya & Profesional
Pada tahun 2010 iaitu pada usia 23 tahun, Vivy Yusof bersama Fadza yang merupakan tunangnya ketika itu, telah mengasaskan FashionValet iaitu sebuah platform e-dagang yang memasarkan jenama fesyen tempatan.
Pada tahun 2012, pasangan itu memenangi dana pelaburan RM1 juta oleh MyEG Services Bhd, setelah mendapat tempat pertama dalam Make The Pitch, sebuah rancangan televisyen realiti.
FashionValet berkembang pesat dan menjadi salah satu platform fesyen terkemuka di Malaysia. Pada tahun 2014, Vivy Yusof melancarkan pula jenama dUCK, yang menawarkan koleksi hijab dan aksesori gaya hidup premium.
Selain kejayaan dalam perniagaan, Vivy juga aktif dalam media sosial yang mempunyai 1.8 juta pengikut di Instagram. Beliau berkongsi tentang kehidupan peribadi, kerjaya, dan pandangan fesyen melalui platform tersebut.
Sebelum menjadi terkenal di media sosial, Vivy Yusof aktif menulis di blog peribadinya, Prodduck, di mana dia berkongsi kisah tentang kehidupan, fesyen dan inspirasi perniagaan.
Walaupun sibuk dengan perniagaan, dia aktif dalam usaha memperkasakan wanita dan memberi inspirasi kepada generasi muda melalui ceramah dan program motivasi.
Pada tahun 2016, Vivy Yusof membintangi program realiti televisyen “Love, Vivy” yang disiarkan di Astro Ria, memaparkan kehidupan sehariannya sebagai usahawan dan ibu.
Pencapaian Vivy Yusof
Vivy telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan, antaranya:
- Bella Business Award 2013
- Ikon Wanita Puteri UMNO pada tahun 2014
- Young Entrepreneur Award (Tribute to Women Malaysia) 2016.
- Young Entrepreneur of the Year Award (Asean@50 Achievement Awards) 2017.
- Women’s Weekly Malaysia’s Finance and Commerce Nominee for the Great Women of Time Awards 2015.
- 60 Wanita Inspirasi Nona.
- Pernah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 26 Mei 2019.
- Top 5 kategori Fesyen MeleTOP di Anugerah MeleTOP Era 2017.
- Top 5 Personaliti Media Sosial di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2016.
- Entrepreneur Par Excellence (Malaysia Tatler) 2019.
Manakala pada Disember 2022, Vivy Yusof telah menerbitkan sebuah buku pertamanya bertajuk “The First Decade: My Journey from Blogger to Entrepreneur”.
Buku ini mengisahkan perjalanan beliau daripada seorang penulis blog kepada usahawan berjaya, termasuk cabaran dan kejayaan yang ditempuh sepanjang sepuluh tahun pertama kerjayanya.
Buku ini sesuai untuk usahawan muda yang ingin memahami selok-belok dunia perniagaan, khususnya dalam industri fesyen. Ia juga memberikan pandangan bagaimana Vivy mengimbangi kehidupan peribadi dan profesionalnya.
Isu Fashion Valet Dengan Khazanah & PNB
FashionValet telah menerima pelaburan daripada Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada tahun 2018.
Khazanah melabur RM27 juta, manakala PNB menyumbang RM20 juta, menjadikan jumlah pelaburan sebanyak RM47 juta untuk memperoleh pegangan minoriti dalam syarikat tersebut.
Namun, perniagaan FashionValet menghadapi cabaran besar akibat pandemik COVID-19, yang menjejaskan prestasi kewangannya.
Pada akhir tahun 2023, Khazanah dan PNB menjual pegangan mereka dalam FashionValet kepada NXBT Partners Sdn Bhd dengan harga RM3.1 juta, mengakibatkan kerugian kolektif sebanyak RM43.9 juta.
Kementerian Kewangan menyatakan bahawa keputusan untuk menjual pegangan tersebut adalah langkah keluar yang bertanggungjawab, memindahkan pemilikan kepada pelabur strategik yang lebih sesuai untuk memenuhi keperluan kewangan dan menyokong pertumbuhan perniagaan FashionValet.
Kerugian yang dialami dianggap kecil berbanding dengan pendapatan keseluruhan Khazanah dan PNB pada tahun berkenaan.
Rentetan kontroversi itu, Vivy Yusof dan Fadza tampil memohon maaf dan mengumumkan keputusan mengundur diri daripada syarikat tersebut.
Fakta Menarik Lain Mengenai Vivy Yusof
- Disenaraikan dalam senarai Forbes ’30 Under 30 Asia’ pada 2017.
- Pernah menjadi juri dalam ‘AirAsia Runway Ready Designer’ selama 2 tahun.
- Pernah menghias muka depan beberapa majalah berprofil tinggi di Malaysia seperti HerWold, Prestige, dan Tatler.
- Telah muncul di beberapa media antarabangsa termasuk BBC, The New York Times, dan Forbes.
- Salah seorang blogger terbaik Malaysia dengan 250K hits bulanan di blognya Proudduck.
Semoga Vivy Yusof terus menjadi inspirasi kepada ramai wanita muda di Malaysia melalui kejayaan dan dedikasinya dalam dunia perniagaan dan fesyen.
Sumber:
- Datin Vivy Yusof, Entrepreneur and Co-founder, FashionValet and The dUCk Group. Tatler