Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Dollah Salleh menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Ong Kim Swee, untuk mempertahankan kerusi Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia pada Kongres Tahunan yang akan berlangsung 28 November nanti.
Kim Swee yang kini bertindak sebagai Pengarah Teknikal NFDP memenangi jawatan Presiden PJBM tanpa bertanding pada 2023. Namun kali ini beliau akan berdepan tentangan daripada Datuk Richard Scully dan juga seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar.
Bagi Dollah, pengalaman Kim Swee sebagai jurulatih di peringkat tertinggi serta pembabitan di program pembangunan menjadikannya calon paling layak untuk jawatan tersebut, berbanding dua calon lain.
“Tanpa ragu, beliau adalah orang yang tepat dan paling berkelayakan untuk kerusi itu. Kim Swee berpengalaman luas, malah terbabit dalam program-program pembangunan. Sebab itulah saya secara peribadi telah bercakap dengan beberapa rakan-rakan jurulatih, menggesa mereka untuk mengekalkan Kim Swee sebagai Presiden agar kita boleh terus memperbaiki isu-isu yang membelenggu komuniti kejurulatihan kita.
“Kita perlukan seseorang yang benar-benar boleh mewakili para jurulatih apabila mereka berdepan kesulitan dengan kelab masing-masing. Kim Swee seorang yang lantang bersuara dan berani membangkitkan perkara yang ramai rasa takut untuk suarakan.
“Beliau seorang yang spontan dan berani, malah cukup komited dalam membuka laluan kepada jurulatih muda yang sedang meningkat naik supaya mereka dapat melangkah ke hadapan dan maju dalam industri ini,” menurut bekas Naib Presiden FAM itu.
Untuk rekod, jawatan Presiden PJBM sebelum Ong Kim Swee disandang oleh mendiang B.Sathianathan. Selepas beliau meninggal, Ong Kim Swee yang merupakan timbalan ketika itu memangku jawatan Presiden, sebelum dilantik secara rasmi pada 202
Sumber: Timesport



