HomeRencana"MFL Perlu Hentikan Jaga Kepentingan Kelab Tertentu"

“MFL Perlu Hentikan Jaga Kepentingan Kelab Tertentu”

Malaysian Football League (MFL) digesa mengambil serius saranan mengkaji semula kuota pemain import di atas padang dan membuat satu keputusan yang akan menjamin kestabilan dan nilai kompetitif liga.

Pemerhati bolasepak tanah air, Dr Zulakbar Abd Karim berkata badan pengelola itu ketika ini dilihat menumpukan kepada usaha mengangkat JDT untuk menjadi pesaing kuat di ACLE lantas membiarkan jurang antara kelab-kelab domestik lain semakin jauh.

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada keutamaan sebenar MFL adalah untuk membina satu kelab yang mampu mencabar di peringkat benua atau memastikan daya saing lebih menyeluruh dalam liga domestik.

“Ketika ini, tidak jelas sama ada objektifnya adalah membantu JDT memenangi ACLE atau menjadikan kelab-kelab Liga Malaysia benar-benar kompetitif. Sebahagian besar fokus atau perubahan-perubahan yang dibuat dilihat tertumpu kepada usaha menjaga kepentingan JDT yang bersaing di ACLE, sedangkan kelab-kelab Liga Malaysia lain terus bergelut untuk mengejar, malah ada yang terpaksa gulung tikar,” kata Zulakbar.

“Kuota pemain import ketika ini membenarkan enam pemain berada di atas padang. Kelab perlu berbelanja besar untuk dilihat kompetitif. Bagi saya, setakat nak bersaing dalam liga tempatan, tiga pemain import sudah memadai.

“Saya fikir persaingan antara pasukan juga lebih terbuka dengan hanya ada tiga pemain import. Sebab pasukan yang ada duit banyak pun boleh guna tiga import sahaja di atas padang. Jadi selebihnya kelab terpaksa bangunkan bakat tempatan.

“Apabila pemain import dikurangkan, bajet yang ada kelab boleh tumpukan kepada pembangunan bakat tempatan. Jadi cadangan kurangkan pemain import itu ada asasnya,” ujar Zulakbar dilaporkan Timesport.

Bekas CEO Kelantan FC turut senada dengan Zulakbar, menurutnya pengurangan kuota import boleh membantu penjimatan bajet pasukan, merapatkan jurang antara pasukan selain meminimumkan risiko mana-mana pasukan yang tidak mampu bertahan daripada menarik diri dalam liga.

“Ini akan memberi ruang kepada anak jati mengintai peluang beraksi dalam kesebelasan utama. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah mengehadkan tiga pemain import dan juga melarang terus pemain import pada 2008.

“Kesannya membawa kepada kejayaan pasukan negara merangkul Piala AFF pada 2010. Jadi MFL perlu ada iltizam politik dan tidak perlu akur kepada mana-mana kelab.

“Mereka kena melihat gambaran lebih besar dan bukan menjaga kepentingan satu-satu kelab. Bagi mewujudkan liga yang kompetitif, pasukan harus diberi peluang bermain atas padang yang sama (level playing field),” katanya dipetik dari laporan BH Sukan.

Baru-baru ini ketika berlangsungnya perbincangan meja bulat, beberapa kelab Liga Malaysia mencadangkan kepada MFL supaya kuota pemain import dikurangkan.

Ketika ini liga membenarkan sehingga 15 pemain import didaftarkan, sekali gus memberi kelab seperti JDT dan Selangor kedalaman skuad mencukupi untuk bersaing dalam ACLE dan ACL 2.

RELATED ARTICLES

Most Popular