Pemerhati bolasepak tanah air, Dr Dzulakbar Abd Karim mencadangkan supaya Malaysian Football League (MFL) mengehadkan kuota pemain import yang beraksi di atas padang pada satu-satu masa kepada hanya tiga.
Bercakap kepada BH Sukan, Dzulakbar berkata jumlah itu adalah relevan dan lebih rasional bagi mewujudkan persaingan yang seimbang dalam kalangan pasukan Liga Malaysia dalam masa sama dapat membangunkan bakat-bakat tempatan.
Ketika ini, MFL membenarkan enam pemain import berada di atas padang dalam satu masa menerusi komposisi empat terbuka, satu Asia dan satu ASEAN, manakala tiga di bangku simpanan.
“Bagi saya, setakat nak bersaing dalam liga tempatan, tiga pemain import sudah memadai iaitu untuk bahagian pertahanan, tengah dan serangan. Selebihnya diisi pemain tempatan, mereka pun boleh buat kerja itu.
“Ia sudah cukup mewarnai dan memeriahkan liga kita, di samping pasukan Harimau Malaya akan dapat banyak pilihan untuk memilih pemain yang terbaik bagi mewakili negara nanti.
“Saya fikir persaingan antara pasukan juga lebih terbuka dengan hanya ada tiga pemain import. Sebab pasukan yang ada duit banyak pun boleh guna tiga import sahaja di atas padang. Jadi selebihnya kelab terpaksa bangunkan bakat tempatan.
“Apabila pemain import dikurangkan, bajet yang ada kelab boleh tumpukan kepada pembangunan bakat tempatan. Jadi cadangan kurangkan pemain import itu ada asasnya,” ujarnya.
Baru-baru ini, ketika persidangan meja bulat antara MFL dan wakil-wakil kelab Liga Malaysia, CEO Terengganu Syahrizan Mohd Zain ada mengetengahkan cadangan supaya kuota pemain import Liga Malaysia dinilai semula.
Dzulakbar yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, menegaskan cadangan itu perlu dipandang serius dan diperhalusi MFL.
“Kita tidak mahu ada lagi pasukan yang tarik diri dari Liga Super, jadi MFL perlu mendengar rintihan atau cadangan daripada pasukan bertanding. Setiap pasukan ada kemampuan berbeza yang mana sebenarnya banyak pasukan terpaksa berbelanja berhemah atas faktor kewangan.
“Pasukan yang bersaing di peringkat Asia dan ada kewangan kukuh mungkin tiada masalah untuk ambil import ramai, tetapi bagaimana pula dengan pasukan yang kurang berkemampuan? Jadi, MFL kena pertimbangkan dan menyusun semula peraturan.
“Mungkin perlu ada dua peraturan berbeza dari segi penggunaan pemain import seperti untuk kelab yang tak bertanding di Liga Juara-Juara Asia (ACL) lain dan yang bertanding di ACL mungkin lain,” tambahnya lagi.



