Pencapaian hebat dilakar JDT sewajarnya menyuntik inspirasi dan dijadikan sebagai penanda aras oleh setiap kelab, bukan melihatnya sebagai satu ancaman.
Bekas pemain kebangsaan, Dato’ Zainal Abidin Hassan berkata gergasi bolasepak tanah air itu sudah melangkah jauh dalam aspek profesionalisme dan pembangunan bolasepak moden. Pencapaian demi pencapaian mereka menjadi satu sejarah baru dalam kancah bolasepak tanah air dan turut mendapat perhatian media antarabangsa.
Justeru Zainal mahu melihat pasukan seperti Selangor yang pernah diwakilinya sebanyak tiga kali iaitu pada 1980–1982, 1985–1990 dan 1997–1999 turut mengorak langkah sama, bukannya membuang masa fokus kepada perkara tidak berfaedah.
Beliau menjadikan Kuching City sebagai contoh terbaik pasukan yang ada keinginan untuk sentiasa bergerak ke depan, yang dibuktikan melalui perancangan, prestasi dan pencapaian mereka pada hari ini setelah bermula di Liga Bolasepak Rakyat kira-kira sedekad yang lalu.
Pasukan itu menapak perlahan-lahan dan kini sedang bersaing sengit dengan Selangor untuk memburu kedudukan naib juara Liga Super – yang akan menjanjikan tiket beraksi di ACL2 – selain turut layak ke final Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah kelab itu.
“Kuching City membuktikan bahawa kelab dengan perancangan jelas, disiplin badan kejurulatihan dan konsistensi prestasi mampu bersaing di pentas besar tanpa mengorbankan fokus kepada hal yang tidak mendatangkan hasil di atas padang.
“Selangor juga harus bangkit untuk mengembalikan zaman kegemilangan. Sebagai seorang yang pernah melalui era kegemilangan Selangor, saya begitu memahami aspirasi penyokong Merah Kuning, mereka bukan sekadar mahu penjelasan tetapi mereka dahagakan kemenangan, kebanggaan dan prestasi konsisten di padang.
“Sekiranya benar-benar mahu memajukan Selangor dan liga secara keseluruhan, fokus perlu kembali kepada pembinaan asas yang kukuh, perancangan jangka panjang dan prestasi kompetitif, bukan sekadar berdebat tanpa arah,” katanya dalam laporan disiarkan BH Sukan.
Untuk rekod, kali terakhir Selangor yang pernah digelar Raja Bolasepak Malaya menjulang trofi utama dalam saingan domestik adalah Piala Malaysia pada 2015. Kejuaraan Liga Super yang terakhir pula adalah pada tahun 2010.



