Saingan Liga Super mempunyai tarikan tersendiri dan lebih kompetitif daripada liga-liga utama rantau Asia Tenggara (ASEAN) yang lain.
Demikian menurut Pengurus Besar DPMM FC, Ali Momin. Justeri beliau menegaskan ia adalah kerugian besar jika status pertandingan ini ditukar atau diturunkan taraf kepada semi-pro.
“Pihak DPMM FC ada mendengar di media sosial berhubung Liga Malaysia dijadikan separuh profesional dan ada kelab nak pindah ke Liga A1. Pandangan kami, Liga Malaysia adalah liga yang kompetitif jika dibandingkan dengan liga yang pernah kami ikut termasuk Liga Singapura.
“Saya fikir Liga Malaysia lebih kompetitif, banyak warna dan amat menarik. Jadi kami tidak bersetuju kalau cadangan Liga Malaysia ini diturunkan (taraf ke liga separuh profesional),” katanya kepada BH Sukan.
Tambahnya: “Sayang, sebab saya fikir Liga Malaysia boleh (jadi) contoh dan penanda aras untuk kami belajar daripada kelab yang ada pada masa ini.”
Ali Momin juga memaklumkan bahawa jumlah kehadiran penonton DPMM ke stadium meningkat sejak mereka menyertai Liga-M selaku pasukan jemputan bermula musim ini.
“Saya berasa purata dalam 5,000 penonton setiap perlawanan. Perlawanan paling tinggi ketika kami menentang Selangor dalam 14,000 ke 15,000 (penonton). Aksi berdepan JDT sebenarnya kami sasar ramai, namun mungkin pada masa itu bermain di bulan puasa,” katanya lagi.
Sebelum ini, terdapat cadangan supaya saingan Liga-M kembali ke saingan separuh profesional sebagai satu daripada langkah mengatasi masalah kewangan kritikal yang dihadapi beberapa pasukan.
Beberapa pasukan besar seperti Kedah, Perak, Kelantan antara yang ‘menarik hand-brake’ dan meneruskan perjuangan mereka di Liga Semi-pro, manakala Pahang pula memilih untuk menyepi terus daripada kancah bolasepak tanah air.
Terbaru Terengganu juga dikatakan mahu mengikut jejak langkah sama untuk beraksi di Liga Semi-pro, namun keputusan itu belum dimuktamadkan.



