HomeRencana"Usah Risau, Pada Akhirnya Semua Team Akan Dapat Lesen"

“Usah Risau, Pada Akhirnya Semua Team Akan Dapat Lesen”

Sampai bila Malaysian Football League (MFL) mahu berlembut kepada kelab-kelab yang lambat melengkapkan penyerahan dokumen ataupun mungkin juga tidak memenuhi kriteria permohonan lesen kebangsaan untuk beraksi di Liga Super.

Pemerhati dan penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli berpendapat Jawatankuasa First Instance Body MFL perlu lebih tegas dalam menguatkuasakan peraturan demi menjaga kredibiliti pelesenan kelab agar tidak nampak rapuh dan lemah.

Beliau berkata, ia seperti sekadar satu formaliti sahaja FIB meminta kelab menyerahkan dokumen-dokumen yang berkenaan untuk memohon lesen kebangsaan kerana skrip selepasnya sudah boleh dibaca.

“Prosesnya sama sahaja, kelab serahkan permohonan, ada beberapa kelab akan minta lanjutan, pada akhirnya, saya jangka semua pasukan akan dapat lesen mereka, tak perlu risau pun. Kita sudah tahu prosesnya, ini kitaran berulang setiap tahun, keputusan akhirnya tidak akan mengejutkan, semua boleh bermain,” kata Pekan kepada wartawan Timesport.

Pekan menegaskan sekiranya kelonggaran terus diberikan, tiada maknanya melaksanakan sistem pelesenan kelab. Malah beliau mengingatkan MFL sikap memberi muka inilah menyebabkan kelab-kelab bermasalah terus mengulangi kesalahan saban musim.

“Terdapat beberapa pasukan yang sebelum ini diberi kelulusan bersyarat untuk beraksi dalam Liga Super, tetapi adakah mereka sudah memenuhi syarat itu? Atau masih berdepan masalah sama seperti tunggakan gaji pemain dan krisis kewangan?

“Saya fikir sepatutnya begini — pasukan yang MFL beri lanjutan tahun lalu (Imigresen, KL City, Melaka, Polis dan Kelantan The Real Warriors), tetapi masih gagal memenuhi syarat tersebut dan masih berdepan masalah sama, mereka sepatutnya digantung daripada musim 2026-2027.

“Jika mereka diberi kelulusan bersyarat lagi tahun ini, maka tiada gunanya lagi bercakap soal pelesenan kelab. Maknanya sesiapa sahaja yang memohon akan dapat (lesen),” katanya.

Pekan mengakui beliau faham MFL khuatir sekiranya terlalu tegas, mungkin sukar untuk mengekalkan jumlah pasukan yang bertanding dan ia akan menjejaskan nilai komersial terhadap liga anjuran mereka. Namun tegasnya, memaksa kelab bermasalah menyertai saingan hanya akan merosakkan kredibiliti liga dalam jangka panjang.

“Jadi, masih akan ada banyak toleransi dan kompromi, dengan fokus lebih kepada jumlah pasukan bertanding berbanding kelab yang benar-benar berkemampuan dan bebas hutang.

“Sekurang-kurangnya 12 pasukan itu okay, tetapi tujuh atau lapan pasukan memang tidak sesuai untuk Liga Super. Tetapi kita juga tidak mahu pasukan yang tidak memenuhi kriteria dipaksa masuk semata-mata untuk cukupkan jumlah,” katanya.

Untuk rekod, FIB pada minggu lalu mengumumkan bahawa tujuh kelab telah melengkapkan penyerahan permohonan Lesen AFC dan Kebangsaan setakat tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 April 2026.

Kelab-kelab tersebut adalah JDT, Selangor, Kuching City, Terengganu, Sabah, Penang dan Negeri Sembilan. Manakala Imigresen, KL City, Kelantan TRW, Melaka dan PDRM pula memohon lesen kebangsaan sahaja.

Bagaimanapun beberapa kelab diberi lanjutan masa untuk melengkapkan keperluan dokumentasi di bawah kriteria pelesenan.

RELATED ARTICLES

Most Popular