HomeRencanaKetahui Manfaat-Manfaat Serai Untuk Kesihatan

Ketahui Manfaat-Manfaat Serai Untuk Kesihatan

Serai atau turut dikenali sebagai lemon grass diketahui umumnya digunakan di dalam masakan, sebagai penyedap hidangan, menghilangkan hanyir malah dijadikan air rebusan untuk diminum.

Tumbuhan ini juga kerap kali dimasak dengan minyak kelapa untuk digunakan ketika berurut. Malahan, ada juga yang mengetuk pangkal serai dan dimasak untuk menghasilkan minyak aromatik.

Bahan utama dalam minyak aromatik serai adalah sitral yang memberi 80 peratus jumlah keseluruhan bahan aktifnya dan sejak dulu, ia banyak digunakan dalam industri haruman, makanan dan perubatan herba.

Baca juga: 8 Punca Kerap Rasa Mengantuk Walaupun Cukup Tidur

Citronella yang terkandung di dalam serai berpotensi menghalau serangga, manakala minyak patinya digunakan sebagai wangian aromaterapi.

Dalam perubatan am, ia boleh membantu penghadaman, melegakan masalah haid, mengatasi loya, mencegah muntah, mengurangkan sakit kepala, sakit perut, sengal otot dan sakit sendi.

Menariknya, serai juga boleh menggalakkan perpeluhan, menyejukkan badan, mengatasi demam serta turut berkesan untuk merawat radang reumatisme (gangguan sakit pada bahagian otot, sendi, tendon atau tulang) dan pneumonia (penyakit radang paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas kerana sebahagian daripada bahagian itu berisi cecair).

Paling utama, khasiatnya dikatakan berupaya mencegah kanser, mengurangkan tekanan darah, merangsang peredaran darah dan menghilangkan masalah tekanan darah, berfungsi sebagai pelawas kencing serta mampu mengatasi masalah ginjal mahupun saluran kencing.

Dan berikut pula adalah khasiat air rebusannya yang baik untuk kesihatan yang telah digunakan secara meluas di pelbagai negara.

1. Meningkatkan kesihatan gigi dan mulut

Kajian menunjukkan ekstrak serai mampu menghalang pertumbuhan bakteria.

Ini termasuk bakteria yang boleh mengganggu kesihatan pergigian dan mulut, seperti Streptococcus Sanguinis yang boleh menyebabkan kaviti. Air rebusan juga boleh digunakan sebagai ubat kumur untuk menjaga kesihatan mulut.

Kita juga boleh menggigit dan menggosok sisa rebusan serai pada gigi sepertimana menggunakan kayu sugi.

2. Melegakan kerisauan

Minum teh panas boleh membuat anda tenang, tetapi khasiat rebusan lemon grass tidak terhenti di situ.

Serai juga membantu menghilangkan keresahan kerana kajian mendapati bahawa menghidu serai terutama dalam bentuk minyak pati dapat membantu orang yang mengalami masalah keresahan.

3. Mengatasi kembung perut

Ia juga boleh digunakan untuk merawat kembung perut.

Kajian menunjukkan pengambilan air rebusan lemon grass boleh meningkatkan kekerapan membuang air kecil kerana ia mempunyai kesan diuretik. Justeru, kembung perut yang berlaku akibat pengumpulan cecair dalam badan dapat diatasi.

Khasiatnya juga boleh mengatasi masalah yang sama semasa sindrom pra-haid (PMS).

4. Mencegah jangkitan

Manfaat air rebusan lemon grass seterusnya adalah untuk mencegah jangkitan.

Kajian menunjukkan serai mampu mencegah pelbagai jenis jangkitan yang dialami akibat penurunan sistem imun badan, contohnya mengurangkan dan melegakan kudis pada penghidap HIV.

5. Menurunkan kolesterol

Kajian menunjukkan ekstrak lemon grass mampu menurunkan paras kolesterol.

Jumlah kolesterol yang diturunkan bergantung pada jumlah dos yang digunakan, untuk menurunkan lebih banyak kolesterol, lebih banyak serai diperlukan.

6. Mengatasi cirit-birit

Air rebusan lemon grass boleh digunakan untuk mengurangkan kekerapan membuang air besar terutama menangani cirit-birit.

Tumbuhan ini juga mempunyai fungsi antibakteria yang boleh mengurangkan jangkitan pada saluran penghadaman.

Cara membuat rebusan serai

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda ikuti dan boleh dilakukan sendiri di rumah:

a. Sediakan sebatang serai dan segelas air.

b. Potong batang serai kepada ukuran 2.5cm – 5cm.

c. Panaskan air dan biarkan mendidih.

d. Tuang air panas ke dalam bekas yang telah dipotong tangkai serai.

e. Biarkan batang serai meresap sekurang-kurangnya 5 minit dalam gelas.

Air rebusan lemon grass boleh diminum panas atau sejuk dengan menambah ketulan ais untuk menjadikan minuman ini lebih segar.

Tiada sukatan betul mengenai penggunaan serai untuk kesihatan tetapi kita dinasihatkan untuk mulakan dengan minum segelas sehari.

Walaupun pengambilan rebusan lemon grass adalah selamat, tetapi wanita hamil dinasihatkan untuk tidak mengambilnya.

Ini kerana walaupun tiada bukti kes atau kajian yang mendedahkan bahayanya untuk kehamilan, namun kebaikan rebusan lemon grass yang boleh melancarkan haid, dikhuatiri boleh memberi kesan kepada kehamilan dan menyebabkan risiko keguguran.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!