Berikutan penangkapan artis dikir barat Eda Ezrin di Pekan Sungai Golok pada Jumaat lalu, komposer dan penerbit veteran Eddie Hamid berkata beliau terpaksa menangguhkan rakaman lagu baharu penyanyi yang popular dengan lagu Bey Soba Bey itu.
Eddie mendedahkan berita penangkapan Eda Ezrin diketahui menerusi perkongsian ahli dalam kumpulan whatsapp pemuzik Kelantan pada Sabtu, sekaligus memaksanya merombak tarikh rakaman yang sepatutnya diadakan di Kota Bharu, Kelantan sekitar minggu pertama November.
“Saya memang balik Kelantan untuk menyempurnakan pembikinan dua lagu baharu Eda Ezrin iaitu kesinambungan Bey Soba Bey berjudul Tokleh Nak Soba serta satu lagu raya Bey Soba Bey Raya.
“Kali terakhir kami berhubung pada 25 Oktober lalu dan sepatutnya kami berjumpa sebelum kerja rakaman bermula kerana saya mahu tunjukkan lirik, tapi tiba-tiba muncul pula berita penahanan itu,” kata Eddie dipetik dari HibGlam.
Tambahnya lagi, “Setakat ini saya cuma tunggu perkembangan selanjutnya dan biar apa pun saya tetap menunggu Eda Ezrin kerana lagu ini memang untuknya, sekaligus saya berharap keadaannya baik-baik sahaja.”
Mengenai penangkapan penyanyi itu, Eddie mengakui terkejut kerana sepanjang mengenalinya, Eda Ezrin seorang berpesonaliti baik, lemah lembut, menghormati orang selain tiada tanda terbabit kegiatan sebegitu.
Baca juga: Mengenali Vivy Yusof, Ikon Fesyen dan Inspirasi Wanita Muslimah
Justeru beliau menaruh harapan agar penyanyi berkenaan ‘bersih’ daripada sebarang kegiatan yang bertentangan undang-undang.
“Saya tak boleh cakap lebih-lebih tetapi sejak Bey Soba Bey viral, saya difahamkan Eda selalu menjadi sasaran orang yang cemburukan populariti diraihnya.
Tidak Bersalah Selagi Belum Dibuktikan
“Harapan saya agar semua urusannya dapat dilancarkan dan sebagai rakan saya cuma mampu berdoa jika dia berada di tempat yang salah, pada waktu yang salah, kebenaran dapat ditegakkan.
“Kita tunggu sahaja, lagi pun kes ini masih dalam siasatan, manakala insiden berlaku di negara jiran. Dia tidak bersalah selagi tidak dibuktikan dan dijatuhkan hukuman. Kita jangan tambah berita tidak benar,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan mengenai enam individu termasuk seorang penyanyi wanita popular di Kelantan antara yang ditahan di Sungai Golok, Thailand bersama 6,000 pil kuda.