HomeSukanSyarat Untuk Pasukan Baru Tidaklah Terlalu Ketat - Yusoff Mahadi

Syarat Untuk Pasukan Baru Tidaklah Terlalu Ketat – Yusoff Mahadi

Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL), Datuk Wira Yusoff Mahadi, meletakkan harapan tinggi Melaka yang bergelar juara Liga A1 Semi-Pro 2024/2025 akan bermain di Liga Super musim depan.

Melaka bimbingan K.Devan menjuarai saingan Liga A1 yang melabuhkan tirai minggu lalu, dengan 71 mata, lapan mata mengatasi pasukan tangga kedua Imigresen FC.

Kedua-dua pasukan itu secara meritnya layak ke Liga Super musim depan, tetapi bergantung kepada sama ada mereka melepasi kriteria ditetapkan badan bebas First Instance Body (FIB) untuk diberikan lesen kebangsaan.

Baca Juga: Owner Hilangkan Diri, Isu Gaji Kelab A1 Ini Makin Kritikal

Menurut Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pasukan-pasukan ini diperlukan dalam Liga Super dan berpendapat kemungkinan tiada masalah untuk diberikan lesen.

“Kelayakan automatik sudah terjamin bagi kedua-dua pasukan tapi terpulang kepada pasukan itu sendiri. Mungkin ada faktor-faktor lain menyebabkan mereka belum membuat keputusan.

“Mereka perlu penuhi syarat yang ditentukan MFL. Tapi bagi saya untuk pasukan baru, syarat (yang ditetapkan) tidaklah terlalu ketat kerana MFL (Malaysia Football League) memerlukan pasukan ini naik ke atas,” katanya menerusi laporan Astro Arena.

Sebelum ini, pemilik Melaka FC, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad memberitahu pasukan itu sudah memiliki perancangan kewangan sekiranya layak beraksi di Liga Super musim depan, dengan penekanan tinggi kepada kebajikan pemain.

“Saya akan buat macam pasukan yang saya ada sekarang. Dari segi gaji yang tidak mahal tetapi kita bayar tepat pada masanya. Dari segi bonus yang tak tinggi tetapi kita bayar tepat pada masanya.

“Sebenarnya, perancangan kewangan amat penting kepada kebajikan pemain. Sudah tentu peluang yang diberikan kepada kita nanti, kita akan buat yang terbaik supaya tidak berlaku lagi (masalah) yang lepas dan juga yang menimpa pasukan lain.”

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!