HomeSukan"Gaji Tak Dapat, Kali Pertama Tak Bagi Apa-Apa Kepada Mak Ayah"

“Gaji Tak Dapat, Kali Pertama Tak Bagi Apa-Apa Kepada Mak Ayah”

Pemain sayap Kelantan Darul Naim (KDNFC), Faizal Talib sudah tidak tahu bagaimana lagi caranya untuk dia menuntut kelab itu melunaskan tunggakan gajinya selama lima bulan, dari November 2024 hingga ke March 2025.

Dia mengakui dalam keadaan yang amat memerlukan wang bagi menampung keluarga selain bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.

“Saya dipinjamkan ke Melaka FC dari Oktober hingga Februari lalu. Kalau ikutkan sepanjang tempoh itu, Melaka bayar elaun dan KDN bayar gaji pokok saya.

“Saya difahamkan sebelum ini ada pemain KDN yang terima gaji dua bulan, tapi saya hanya dapat sebulan sahaja bayaran untuk Oktober. Maknanya gaji saya masih tertunggak dari November hingga Mac.

“Sekarang ini saya cuma nak tunggakan gaji saya diselesaikan dan saya pun sebenarnya tak mahu besarkan perkara ini. Tolonglah bayar gaji pemain, itu hak kami,” kata pemain berusia 28 tahun itu yang kontraknya akan berakhir pada hujung bulan ini.

Menurut laporan BH Sukan, Faizal yang turut pernah menyarung jersi Kedah Darul Aman sudahpun membuat aduan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), namun belum ada perkembangan.

Justeru, pemain berasal dari Negeri Sembilan itu menjelaskan dia terpaksa melakukan beberapa kerja lain sejak Ramadan lalu bagi mendapatkan sumber pendapatan.

“Pada Ramadan hari itu saya habis kontrak dengan Melaka dan saya berniaga bazar dengan kawan sebab nak cari makan (pendapatan). Apa sahaja kerja saya buat.

“Kadang-kadang pagi masuk pasar kerja dengan kawan, petang meniaga dekat bazar dan malam sambung di tapak ekspo. Sekarang ini saya nak kerja dengan kawan di pasar pagi dan pasar malam.

“Tahun ini memang perit, dengan isteri tengah mengandung anak kedua dan sudah nak masuk tujuh bulan, anak pertama usia setahun lapan bulan. Sebab itu saya sanggup buat apa saja kerja asalkan keluarga dapat makan.

“Aidilfitri tahun ini pun saya tak dapat bagi apa-apa dekat emak dan ayah. Ia kali pertama saya terpaksa lalui situasi ini dan sebagai anak lelaki, saya berasa amat sedih,” katanya.

Baca Juga: Harap Ada Pasukan Beri Mereka Peluang Bina Semula Karier

Dalam pada itu, Pengurus Besar KDNFC, Afiq Manaf meminta semua pemain bersabar dan pihak kelab sedang berusaha keras untuk mendapatkan dana dari penaja bagi membayar gaji pemain.

“Pembayaran yang kita buat tempoh hari memang ada pemain dapat dua bulan gaji dan ada yang dapat sebulan sebab duit yang kita terima tidak cukup.

“Bagilah kelab dan presiden untuk usaha dapatkan duit tajaan dari penaja. Kita juga ada perkara yang perlu dibayar kepada pihak ketiga termasuk pihak stadium.

“Kita bayar sebab memang tanggungjawab kita, jadi kalau ada duit, Insya-Allah bulan ini akan ada lagi pembayaran kepada pemain,” ujar Afiq.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!