HomeHarap Ada Pasukan Beri Mereka Peluang Bina Semula Karier - Rezal

Harap Ada Pasukan Beri Mereka Peluang Bina Semula Karier – Rezal

“Jangan putus asa dan fikirkan masa depan.” Itu permintaan penolong jurulatih Kelantan Darul Naim FC, Rezal Zambery Yahya terhadap pemainnya.

Beliau mengakui tiada apa lagi yang mahu diperjuangkan pasukannya dalam kempen musim ini, selain turun bermain untuk menghabiskan baki saingan yang berbaki dua perlawanan.

Setelah kekalahan terbaru 9-0 kepada JDT pada Khamis, KDNFC sah mengakhiri Liga Super 2024/25 di tangga tercorot. Ia adalah kekalahan ke-19 mereka musim ini, mengutip hanya tujuh mata dalam 22 perlawanan.

Meskipun perlawanan menentang Kuching dan KL City selepas ini tidak membawa apa-apa makna, Rezal tetap berharap pemain bersedia untuk berikan yang terbaik setidak-tidaknya untuk memasarkan diri mereka dan membuka mata mana-mana pasukan.

“Fokus kami sekarang adalah untuk menghabiskan baki dua perlawanan musim ini. Saya mengharapkan masih ada pemain yang akan terus turun beraksi demi maruah pasukan.

“Kemelut yang melanda pasukan turut berpunca daripada kelemahan pentadbiran yang gagal menyelesaikan isu dalaman sehingga menjejaskan prestasi keseluruhan pasukan.

“Saya sendiri tidak mampu berbuat apa-apa. Kalau masalah pengurusan dapat diselesaikan lebih awal, perkara sebegini tidak akan berlaku. Bagaimanapun, sebagai jurulatih dan pemain, kita tetap ada kontrak dan perlu habiskan saingan musim ini dengan penuh profesional.

“Saya harap pemain gunakan peluang dalam dua perlawanan terakhir ini untuk tampilkan kebolehan. Mungkin ada pasukan lain yang nampak potensi mereka dan memberi peluang musim depan.

“Fikirkan masa depan. Jangan cepat putus asa. Musim ini mungkin sukar, tetapi masih ada ruang untuk membina semula karier masing-masing,” ujarnya.

Mengenai kekalahan memalukan kepada JDT yang juga kekalahan terbesar dalam sejarah pasukan, Rezal menjelaskan ia berpunca daripada ketiadaan sesi latihan berintensi tinggi hampir tiga bulan.

“Kita semua sedia maklum, sudah hampir tiga bulan tiada sesi latihan bersama. Kita langsung tidak membuat persiapan, hanya berlatih sekali iaitu sehari sebelum perlawanan.

“Saya tetap bersyukur kerana pemain masih menunjukkan komitmen dan sanggup turun berjuang walaupun dalam keadaan serba kekurangan.

“Sudah tentu saya amat kecewa dengan kekalahan ini tetapi kita perlu terima hakikat. Dengan ketiadaan latihan dan persediaan, inilah akibatnya.

“Tahap kecergasan pemain berada pada tahap yang sangat rendah, malah ada yang dianggarkan tidak mencapai 50 peratus kecergasan fizikal sebenar.

“Latihan sendiri seperti berjoging tidak mampu menandingi intensiti latihan bola sepak sebenar. Tanpa kecergasan dan keserasian pasukan, sukar untuk bersaing di pentas Liga Super,” ujar Rezal.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!