HomeSukan"Dulu Jaguh Jalan Kaki, Sekarang Berjalan Pun Tak Boleh"

“Dulu Jaguh Jalan Kaki, Sekarang Berjalan Pun Tak Boleh”

Satu ketika dulu, G.Saravanan mengharumkan nama negara dengan menyumbang pingat emas acara jalan kaki Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 – pencapaian yang sehingga ke hari ini belum disamai oleh mana-mana atlet olahraga negara.

Hari ini, bekas atlet berusia 55 tahun dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu, berdepan dugaan besar dalam hidup apabila tidak mampu walau untuk berjalan sepertimana dilaporkan akhbar tempatan.

Dia disahkan menghidap penyakit Motor Neuron Disease (MND) – penyakit sama menyerang Allahyarham Mokhtar Dahari – pada 2001, ketika menjadi jurulatih atlet jalan kaki pelapis Pulau Pinang.

Saravanan mula menerima rawatan selepas mengalami kesukaran bercakap dan menelan makanan, selain turut selalu mengalami kekejangan di kaki kanannya setiap malam.

Melihat penderitaan dan kesukaran ditempuh Saravanan yang turut memenangi emas Sukan SEA 2001, mustahil tidak ada hati yang bersedih dan sebak, termasuklah bekas rakan sepasukannya B.Thiru Kumaran.

“Pada awalnya kami sangka dia diserang strok (angin ahmar) tetapi dia tidak mempunyai masalah tekanan darah tinggi. Selepas beberapa ujian dilakukan, kami diberitahu ia adalah MND.

“Ia sangat menyedihkan apabila melihat seorang yang membuat kita semua berbangga menerusi pingat emas acara jalan kaki 50km di Sukan Komanwel, hari ini nak berjalan pun tak boleh.

“Saravanan seorang yang sangat berdisiplin dan menjaga kesihatannya, jadi cukup malang dia diuji dengan MND. Keadaan kesihatannya semakin lama semakin merosot. Pada awalnya, dia masih boleh berjalan slow-slow, tetapi sekarang dia nak berdiri pun dah tak boleh.

“Dia memerlukan sokongan kewangan untuk menjalani rawatan fisioterapi yang boleh membantunya berjalan semula. Walaupun dia dari Bukit Mertajam, dia menerima rawatan di Hospital Universiti di Petaling Jaya kerana terdapat pakar MND di sana.

“Saya sempat melawatnya baru-baru ini, dan menyuapkannya makanan. Sukar untuk melihat dia dalam keadaan sebegitu, saya tidak dapat menahan air mata. Kita semua hanya mampu berdoa agar sahabat kita, Saravanan, kembali pulih.

“Kami pernah melalui detik-detik yang indah ketika menjalani latihan dan bertanding bersama pada era 1990-an di bawah bimbingan jurulatih Wang Lin dari China,” ujar Thiru Kumaran yang mengenali Saravanan selama 35 tahun.

Wang Lin merupakan jurulatih yang membimbing Saravanan, Thiru Kumaran dan K.Pushparajan untuk menghadapi Sukan Komanwel 1998. Saravanan muncul juara dengan catatan masa empat jam, 10 minit dan lima saat — satu pencapaian besar yang menjadi suntikan semangat kepada sukan olahraga negara, khususnya acara jalan kaki, pada ketika itu.

Seorang lagi bekas atlet jalan kaki kebangsaan, Narinder Singh, turut melahirkan rasa sedih melihat keadaan Saravanan.

“Saya telah bersahabat baik dengan Saravanan selama lebih tiga dekad, dan amat menyedihkan apabila mengetahui penyakit ini sukar disembuhkan. Kami mendoakan agar Saravanan, wira negara kita, akan sembuh dan mampu berjalan semula,” kata Narinder yang pernah mewakili Malaysia dalam acara 20km jalan kaki di Sukan Komanwel 1998.

Rujukan : NST Sports

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!