HomeNostalgiaKenali Datuk Seri Vida, Ikon Unik Perniagaan Berjiwa Bola

Kenali Datuk Seri Vida, Ikon Unik Perniagaan Berjiwa Bola

Jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, perlu diakui memiliki ketokohan dan sisi berbeza dalam bidang keusahawanan.

Kebijaksanaannya menyusun strategi pemasaran serta penjenamaan ternyata melangkaui masa depan.

Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu tidak kering idea mencipta identiti dan imej tersendiri untuk memacu dirinya sebagai ahli perniagaan berjaya dalam bidang kecantikan selepas merentasi pelbagai cabaran serta kepahitan.

Bekas guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah Cina itu menggunakan pelbagai strategi berbeza, bagi mengukuhkan namanya sebagai usahawan kosmetik paling popular.

Beliau selayaknya digelar ikon bidang perniagaan kosmetik. Mempunyai pakej lengkap, personaliti dan ketokohannya yang tidak pernah putus asa, sentiasa tampil unik, pemikir, yakin, idealis dan berani menjadi resipi kejayaan seharusnya dijadikan inspirasi pada wanita lain.

Wanita Berjiwa Kental

Ketika memulakan perniagaan kosmetiknya, beliau juga berhadapan banyak cabaran termasuk pernah kerugian beratus ribu ringgit sebelum bangkit dengan menukar strategi perniagaan.

Kini produk Vida Beauty Cosmetics, DSV Gold and Jewelry, Millenia Qu Puteh, Pamoga Vida Beauty, Qu Puteh Beauty dan DSV Sorga Tudung, sudah kukuh.

Sebelum mencipta kekayaan dan fenomena, banyak titisan air mata yang tumpah termasuk diduga menerima kehilangan dua anak lelaki, Eddie Zuhdi dan Edrie Zikrie, yang meninggal dunia kerana terperangkap dalam kebakaran di rumah pada 5 Ogos 2013.

Masyarakat juga tidak henti bercakap mengenainya sama ada kisah peribadi seperti tiga kali bercerai selain dikritik, dikeji, gila glamor dan pelbagai lagi, beliau terus positif serta berjiwa kental.

“Saya bersyukur kerana tetap menjadi diri saya dan melalui semua dugaan dengan tabah. Tuhan pula sentiasa kurniakan apa yang saya mahu dan jadikan ia satu kejayaan,” kata Datuk Seri Vida.

Popular Dalam Kalangan Penyokong Bolasepak

Selain bidang kosmetik dan perniagaan, Datuk Seri Vida turut mempunyai populariti hebat dalam kalangan penyokong bolasepak, khususnya Kelantan.

Beliau menerusi Vida Beauty menaja pasukan The Red Warriors pada musim 2016 dan 2017 dengan jumlah tajaan berjumlah RM20 juta.

Dari jumlah tersebut, sebanyak RM16 juta untuk tajaan pasukan Kelantan, RM3 juta bagi kempen promosi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta RM1 juta menganjurkan Liga Datuk Seri Vida Pamoga Qu Puteh di peringkat sekolah, daerah dan negeri.

Baca juga: Kejayaan Treble Kelantan Bukan Sekadar Satu Kebanggaan

Sepanjang tempoh itu juga, beliau melakukan beberapa perubahan termasuk menukar warna Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu kepada warna merah jambu. Selain itu, beliau juga menukar nama pasukan kepada Pamoga Qu Puteh TRW.

Bagaimanapun, disebabkan prestasi TRW yang merosot teruk pada musim tersebut, Datuk Seri Vida memilih untuk membatalkan tajaan selepas hanya setahun.

Beliau juga menyatakan tiada pulangan positif terhadap pelaburan sebagai alasan berbuat demikian.

Pada 2023, beliau hampir untuk membuat comeback ke arena bolasepak Kelantan apabila menyatakan kesediaan mengambil alih TRW daripada pemiliknya ZamSaham demi menyelamatkan pasukan itu yang berdepan pelbagai masalah termasuk kewangan.

Malah, beliau ketika itu sudah pun membuat kerta kerja, dan merangka pelan terperinci selain menyatakan mahu melantik anaknya dikenali sebagai Kacak sebagai pengurus, dalam usaha mengembalikan kegemilangan TRW.

Begitupun, setelah beberapa kali mengadakan rundingan dengan Zamsaham, yang berakhir dengan jalan buntu, hasrat Datuk Seri Vida tidak kesampaian.

Ditimpa Musibah, Rumah dan Kereta Disita

Pada 25 November, akhbar tempatan melaporkan, kediaman bersama empat kenderaan milik Datuk Seri Vida, disita selepas beliau gagal melangsaikan hutang lebih RM1 juta.

Perintah sita itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Hasmiza tidak membayar hutang berjumlah RM1,060,285 daripada kontraktor yang dilantik bagi pengubahsuaian sebuah kilang di Shah Alam menjadi studio.

Penghakiman bertarikh 29 Oktober 2023 memerintahkan Hasmiza menyelesaikan hutang itu dan jika gagal berbuat demikian writ rampasan dan penjualan kemudiannya akan dikeluarkan.

“Semua barang di dalam rumah, kecuali bilik berkunci Vida, sudah ditandakan oleh bailif selepas hampir empat jam.

“Dia mempunyai tempoh dua minggu sehingga 9 Disember ini untuk menjelaskan hutang atau jika tidak, barang-barang itu akan dilelong,” kata peguam yang mewakili kontraktor seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

Sementara itu, plaintif berkata dia menuntut hutang itu sejak 2018 apabila Hasmiza mengupah firma perunding pengubahsuaian yang kemudian melantiknya secara subkontrak bagi perkhidmatan ubahsuai terbabit.

Katanya, pihaknya tidak menerima bayaran kerana Vida gagal membuat pembayaran kepada firma perunding berkenaan yang menyebabkan beliau memfailkan kes muflis terhadap firma terbabit.

Dalam pada itu, Datuk Seri Vida memohon diberi ruang bagi menyelesaikan kemelut ini dan memaklumkan sudah melantik peguam bagi menyelesaikannya.

“Saya mengambil perkara ini dengan serius dan akan memberikan sepenuh perhatian terhadap isu yang dibangkitkan.

“Saya telah melantik peguam untuk menasihati dan membantu saya dalam menyelesaikan perkara ini dengan cara yang terbaik, profesional dan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!