Jawatankuasa Teknikal Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kini sedang meneliti cadangan untuk melarang mana-mana kelab daripada beraksi di liga luar negara masing-masing.
Langkah ini dianggap signifikan memandangkan AFC dan juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah menyalurkan dana besar kepada badan induk bola sepak setiap negara bagi tujuan pembangunan liga domestik.
Jika perkara ini dibiarkan berlarutan, dilihat seolah-olah tiada manfaat yang dapat diperoleh daripada pelaburan dana tersebut.
“Kami sedang merangka satu peraturan yang akan melarang pasukan dari sesebuah liga kebangsaan untuk bermain di liga luar.
“AFC dan FIFA memberikan banyak dana kepada persatuan kebangsaan untuk membangunkan bola sepak, dan antara fokus utama adalah memantapkan liga tempatan.
“Pemain yang berkualiti sepatutnya bermain dalam liga domestik supaya nilai komersial, penyiaran serta penajaan dapat dipertingkatkan,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John dalam laporan Nadi Arena.
Menurutnya, pelaksanaan usul ini akan dilakukan secara berperingkat. Malah, beliau turut menjelaskan bahawa penyertaan kelab Brunei, DPMM FC dalam Liga Malaysia (Liga-M) hanya dibenarkan untuk tempoh tiga tahun sahaja.
Baca Juga: TMJ Beri Gambaran JDT Juara Lagi, Disertai Sindiran Pedas!
“Tiga tahun ini penting untuk perancangan MFL (Malaysia Football League) juga — kita tidak pasti sama ada kelab itu akan terus bertanding selepas tempoh itu.
“Jadi dalam tempoh ini, kami akan berbincang untuk menaik taraf liga domestik Brunei serta membantu mereka menguruskan sebuah pertandingan yang kompetitif di sana.
“Kami tidak boleh halang penyertaan DPMM ketika ini memandangkan mereka tiada liga sendiri, jadi lebih baik mereka terus bermain.
“Namun dalam masa yang sama, kami akan bantu membentuk liga domestik sebelum mereka kembali menyertai liga negara sendiri,” jelas beliau.