HomeSukan"Tak Timbul Isu Boikot Atau Hasut Team Lain, Tapi Ini Soal Survival"

“Tak Timbul Isu Boikot Atau Hasut Team Lain, Tapi Ini Soal Survival”

Tindakan beberapa kelab Liga Super yang menyuarakan hasrat untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim 2025–2026 menggambarkan betapa sukar dan mencabarnya untuk terus bertahan dalam kancah tertinggi bola sepak negara.

Menerusi laporan Sukan Sinar, pemerhati bola sepak, Datuk Dr Pekan Ramli, berpandangan bahawa pasukan-pasukan yang dikaitkan dengan keputusan itu sebenarnya telah memberikan sepenuh komitmen sepanjang saingan Liga Malaysia dan bukannya mengambil keputusan secara semberono.

“Tidak wajar jika kita menuduh mereka berniat memboikot Liga Super semata-mata kerana gagal bersaing atau berasa iri hati terhadap satu pasukan yang kini sedang mendominasi liga.

“Saya percaya keputusan tersebut bukan dibuat secara emosional. Sudah tentu mereka juga tidak senang dengan tuduhan-tuduhan yang timbul,” katanya.

Baru-baru ini Perak mengesahkan mereka menarik diri dari Liga Malaysia, dan nasib sama dijangka dialami Sri Pahang yang sudahpun membenarkan pemain-pemainnya berbincang dengan pasukan lain.

Jelas Pekan, keputusan untuk menarik diri pastinya sudah melalui pertimbangan yang panjang, dan lebih penting niat sebenar mereka bukanlah untuk menjahanamkan Liga Super.

“Mereka terpaksa mengalah atas sebab-sebab yang membelenggu operasi pasukan mereka. Tidak pula kita dengar mereka mengajak kelab lain untuk turut serta memboikot liga. Jadi tidak timbul soal sabotaj,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail, dilaporkan memberi reaksi sinis terhadap cadangan sesetengah pihak yang mahu memboikot Liga Super musim depan.

Reaksi tersebut dipercayai berkait rapat dengan isu-isu semasa yang melanda Liga-M, termasuk kritikan bahawa kualiti saingan semakin menurun dan liga menjadi tidak kompetitif.

Selain itu, isu lama seperti tunggakan gaji masih membelenggu beberapa pasukan, sekaligus mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan liga serta keupayaan pasukan untuk terus beroperasi secara mampan.

Pekan, yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, turut menyatakan bahawa pasukan yang mahu menarik diri bukan tidak berusaha. Malah, mereka telah bertungkus-lumus menyelesaikan pelbagai isu dalaman termasuk tunggakan gaji.

“Mereka tahu risiko dalam pelaburan sukan ini. Tapi mereka tetap teruskan kerana minat dan semangat terhadap bola sepak. Kita patut hargai komitmen itu.

“Ramai antara mereka bukan calang-calang orang. Tokoh korporat, ahli perniagaan – mereka tahu bagaimana untuk mengurus dan merancang kewangan. Tapi bila sudah tidak mampu, lebih baik berhenti daripada terus menanggung kerugian besar yang mungkin jejaskan banyak pihak,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!