HomeSukanMenang Trofi Bukan Kayu Pengukur Kejayaan - Arteta

Menang Trofi Bukan Kayu Pengukur Kejayaan – Arteta

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menegaskan menang trofi bukan pengukur kejayaan sesebuah pasukan itu dalam satu musim.

Mikel Arteta mengucapkan tahniah kepada seteru setempat, Tottenham Hotspur atas kejayaan menjuarai Liga Europa pada Khamis.

Sebagai rekod, Spurs yang menghuni tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris (EPL) mencipta kejutan dengan menamatkan musim suram mereka dengan sebuah trofi Eropah.

Sebaliknya Arsenal yang sah menamatkan EPL di tangga kedua di belakang Liverpool, dengan baki satu perlawanan pula menamatkan musim tanpa sebarang kejuaraan.

“Mereka adalah juara Liga Europa dan untuk mencapai tahap itu, banyak perkara perlu dilakukan dengan betul. Saya rasa mereka melalui musim yang penuh rintangan dan kesukaran. Namun akhirnya, mereka mendapat satu detik yang indah,” kata Arteta.

Namun, apabila ditanya dalam sidang media pada Khamis mengenai pasukan mana antara Arsenal atau Tottenham yang menikmati musim lebih berjaya, Arteta enggan membuat perbandingan secara langsung.

“Saya tidak suka membandingkan dengan pasukan lain. Tugas saya adalah untuk menganalisis pasukan saya sendiri,” kata Arteta yang membimbing Arsenal mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebelum disingkirkan Paris Saint-Germain (PSG).

Baca Juga: “Ini Penalti Paling Pelik Dalam Karier Saya” – Arteta

Arteta juga menegaskan sesebuah pasukan tidak boleh diadili semata-mata berdasarkan jumlah trofi yang dimenangi dalam satu musim, dengan mengambil contoh The Gunners yang tidak pernah menang Liga Juara-Juara dan kali terakhir menjulang trofi EPL adalah pada musim 2003-04.

“Kalau itu (jumlah trofi) menjadi ukuran, maka selama 20 tahun ini kami telah gagal dalam Liga Perdana Inggeris, dan sepanjang sejarah pula kami gagal dalam Liga Juara-Juara.

“Siapakah kami sebenarnya? Di mana nilai jenama kami, kelab kami… di mana nilai kami, gaya permainan kami? Bagaimana pula dengan detik-detik indah yang kami kongsi bersama penyokong kami?,” ujar pengendali kelahiran Sepanyol itu.

Pada masa sama Arteta turut melaungkan tekad bahawa Arsenal kini bermotivasi tinggi untuk menamatkan musim ini dengan rekod pertahanan terbaik dalam saingan EPL, setelah hanya melepaskan 33 gol setakat ini, tujuh kurang daripada Liverpool.

“Kami mahu mengutip sebanyak mungkin mata. Kami masih berusaha untuk mencapai rekod pertahanan terbaik… dan menamatkan musim dengan cara yang positif,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!