HomeSukanRonaldo Diusir Penyokong Selepas Jahanamkan Valladolid

Ronaldo Diusir Penyokong Selepas Jahanamkan Valladolid

Tujuh tahun selepas mengambil alih Real Valladolid, penglibatan legenda Brazil, Ronaldo bersama kelab itu berakhir dengan kegagalan — tiga kali tersingkir ke divisyen lebih rendah dan pemberontakan penyokong yang mahu mengusirnya balik ke Brazil.

“Sejak awal lagi semuanya hanya penuh dengan penipuan dan sikap sambil lewa,” kata Daniel Mozo, seorang penyokong Valladolid berusia 53 tahun yang bekerja sebagai juruelektrik.

“Lebih baik dia berundur, teruskan hidup dia sendiri dan biarkan kami hidup dengan tenang,” katanya kepada AFP di luar Stadium Jose Zorrilla sebelum perlawanan terakhir kelab itu dalam La Liga — sekurang-kurangnya untuk setahun akan datang.

Ronaldo, nama yang bukan asing dalam bolasepak, menjadi pemegang saham majoriti Valladolid pada 2018 dengan janji untuk membawa kelab sederhana itu ke kejohanan Eropah dalam tempoh lima tahun.

Baca Juga: Ronaldo Cerita Kisah Sebenar Peristiwa Misteri France 1998

Dengan reputasi hebat sebagai pemain — dua anugerah Ballon d’Or, dua gelaran Piala Dunia dan pelbagai trofi bersama Real Madrid, Barcelona dan Inter Milan — penyokong mula memasang impian untuk melihat kelab itu mencipta kejayaan besar.

Janjikan Keajaiban, Hadiahkan Malapetaka

Namun, bukannya membawa keajaiban, era Ronaldo menyaksikan Valladolid turun naik antara La Liga dan divisyen kedua Sepanyol, sebelum akhirnya dia bersetuju untuk melepaskan pegangan.

Selepas tersingkir pada tahun 2021 dan 2023, musim ini menjadi antara yang paling mengecewakan dalam sejarah La Liga — dengan Valladolid menduduki tangga tercorot, tewas 29 kali dan bolos 87 gol, dengan satu lagi perlawanan masih berbaki.

“Musim ini adalah memalukan… kami sangka dia akan jadi presiden yang membawa perubahan, tetapi sebaliknya dia memperbodohkan diri sendiri,” kata seorang penyokong, Sergio Gutierrez.

“Dia fikir kerana dia Ronaldo, semuanya akan berjalan lancar. Dia percaya tanpa usaha pun dia akan menang – akhirnya, kosong,” tambah Gutierrez, 44, yang bekerja sebagai pemandu.

Menurut Maria del Carmen de las Fuentes, pesara berusia 66 tahun, Ronaldo “langsung tidak berbuat apa-apa – bahkan tandas pun tak diperbaiki.”

“Saya tak pernah lihat Real Valladolid seteruk ini… Ada perlawanan yang membuatkan kita rasa nak turun ke padang dan sepak semua pemain,” katanya.

Lebih daripada sekadar keputusan buruk di padang, Ronaldo menjadi tokoh yang dibenci oleh penyokong kerana jarang hadir ke perlawanan dan tidak terlibat dalam urusan harian kelab.

Kemarahan mereka memuncak apabila media Sepanyol menyiarkan gambar Ronaldo yang kelihatan mabuk keluar dari sebuah restoran di Madrid pada waktu malam dan terhuyung-hayang masuk ke dalam kereta.

Ronaldo Diisytihar ‘Persona Non Grata’

Awal bulan ini, gabungan kelab penyokong telah menyerahkan petisyen kepada majlis bandaraya Valladolid supaya Ronaldo diisytiharkan sebagai ‘persona non grata’ — atau tidak dialu-alukan — di bandar itu yang terletak di barat laut Madrid.

Ketika aksi menentang Barcelona pada 3 Mei, penyokong memprotes penyingkiran itu dengan melontar wang kertas palsu yang memaparkan wajah Ronaldo serta tulisan “Ronaldo pulanglah” di sekitar stadium.

Kemarahan tidak surut dalam perlawanan terakhir di tempat sendiri musim ini — kekalahan 1-0 kepada pasukan bergelut, Alaves pada 18 Mei.

Puluhan penyokong mengangkat sepanduk “Ronaldo Go Home” di tempat duduk yang banyak kosong, manakala seluruh stadium melaungkan slogan itu ketika waktu rehat penyejukan pemain.

Rekod Ronaldo dalam pengurusan bola sepak turut mencatat pelbagai kontroversi. Pada 2021, beliau menjadi pemilik majoriti kelab pertama yang pernah diwakilinya, Cruzeiro, dan berjaya membawa kelab itu kembali ke liga utama Brazil.

Namun, beliau kemudiannya menjual pegangan tersebut dan cubaan untuk menjadi presiden Persekutuan Bola Sepak Brazil juga tidak berjaya.

Pada Jumaat lalu, Valladolid mengumumkan Ronaldo telah memindahkan sahamnya kepada satu kumpulan pelabur dari Amerika Utara yang mendapat sokongan kewangan dari dana Eropah.

Bagi penyokong Valladolid, Andrea Merino, “apa sahaja yang melibatkan pemergian Ronaldo adalah berita baik. Segala janji kosong yang dijualnya dulu, akhirnya kekal sebagai janji kosong.”

Penyokong mahukan seseorang “yang benar-benar bekerja, yang memahami jiwa kelab ini dan tidak tinggalkan kami terkapai-kapai seperti Ronaldo,” kata wartawan berusia 25 tahun itu kepada AFP.

Rocio Mozo, 40, seorang pembantu teknikal, turut bersetuju bahawa Ronaldo telah hilang kepercayaan semua penyokong dan berharap pemilik baharu nanti adalah “seseorang yang komited dengan bandar ini, kelab ini – yang benar-benar ambil peduli dan hadir secara fizikal.”

Ketika ditanya oleh AFP selepas kekalahan kepada Alaves, jurulatih Alvaro Rubio – yang merupakan jurulatih ketiga musim ini – enggan mengulas mengenai kekacauan di peringkat pentadbiran.

“Tanggungjawab utama atas kegagalan di atas padang tetap saya yang pikul,” katanya ringkas.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!