Orang ramai sekali lagi digesa tidak menokok tambah cerita ‘bukan-bukan’ berhubung kematian Zara Qairina Mahathir, 13, yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes buli bagi mengelak mengganggu siasatan pihak berkuasa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, beliau yakin kebenaran dapat dirungkai dan keadilan untuk arwah Zara dapat ditegakkan.
Katanya, fitnah dan penyebaran pelbagai spekulasi yang tidak benar hanya akan mengganggu proses siasatan yang sedang berlangsung.
“Penegasan sudah dibuat Jabatan Peguam Negara, pihak polis termasuk Menteri Komunikasi yang menegaskan bahawa gambar kanak-kanak tidak boleh dipapar dan diedarkan.
“Jadi, saya ingat seruan ini sangat penting ketika ini supaya siasatan ini dapat dijalankan dengan lebih kemas, telus dan integriti oleh pihak PDRM.
“Kita semua mahukan keadilan itu dan berharap segera dapat dirungkai yang pada masa sama kita beri laluan kepada siasatan ini supaya dapat berlangsung dengan baik, elakkan fitnah dan spekulasi yang bukan-bukan yang boleh memberikan kesan kepada kes ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik di Sekolah Sinar Harapan, di Bukit Mertajam, pada Khamis.
Beliau mengulas sama ada KPM akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan fitnah sehingga mengganggu proses siasatan kes kematian Zara Qairina.
Fadhlina berkata, pihaknya turut menegaskan tidak berkompromi terhadap isu itu dan sentiasa memberikan kerjasama bagi memudahkan proses siasatan.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, pihaknya juga mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah melakukan kesalahan buli.
“Selain menggantung (persekolahan) mereka, kita akan bawa mereka dalam satu program yang dikenali sebagai program bangkit bermaruah iaitu program khidmat masyarakat.
“Jadi, selama mana tempoh mereka digantung persekolahan, mereka tidak hanya duduk di rumah sahaja tetapi membabitkan diri dalam program ini yang akan dikendalikan oleh PPD (Pejabat Pendidikan) setiap negeri,” katanya.