Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau melakukan perbuatan menyalahi undang-undang terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan berkaitan Jalur Gemilang, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata semua perkara yang melibatkan siasatan, pendakwaan dan keputusan mahkamah mesti diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, selaras dengan peringatan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.
“Jangan bertindak sebagai polis, peguam atau hakim. Itu salah. Serahkan kepada polis untuk menyiasat, AGC untuk mendakwa, dan mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya selepas melancarkan Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 peringkat Kuala Lumpur dan Putrajaya di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu hari ini.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri timbalan ketua setiausaha (komunikasi strategik dan industri kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; ketua pengarah Jabatan Penerangan, Julina Johan; dan pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu, Dr Masitah Mohammad Yusof.
Fahmi berkata, terdapat beberapa individu telah dipanggil polis berhubung satu perhimpunan yang diadakan untuk “mengajar” pihak tertentu, namun tindakan lanjut hanya akan diuruskan oleh pihak berkuasa.
Beliau menegaskan rakyat Malaysia harus menangani isu berkaitan Jalur Gemilang dengan cara yang berhemah dan membina.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita juga boleh mainkan peranan. Jika nampak Jalur Gemilang jatuh, kita angkat. Jika lusuh, gantikan dengan yang baharu. Jika dipasang secara tidak betul, betulkan. Jangan mengejek, mencaci atau bertindak biadab. Kita mesti tunjukkan semangat patriotik sepanjang bulan kebangsaan sambil saling mengingatkan tentang tatacara yang betul,” tambahnya.
Fahmi berkata, program itu turut merangkumi Konvoi Merdeka Jalur Gemilang peringkat Kuala Lumpur dan Putrajaya yang melibatkan 73 kenderaan daripada jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kelab sukan permotoran Suzuki V-Strom Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dan Komuniti Madani Lembah Pantai.
Acara sampingan lain termasuk kempen Internet Selamat yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai amalan beretika dalam talian dalam kalangan pelajar institut pendidikan guru.
Kit Jalur Gemilang turut diagihkan kepada pengurusan tertinggi IPG dan wakil 12 komuniti Madani di Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai sebahagian daripada inisiatif “1 Rumah 1 Jalur Gemilang”. – Bernama