HomePanoramaKehilangan Besar Buat Arena Bolasepak, Futsal Pahang

Kehilangan Besar Buat Arena Bolasepak, Futsal Pahang

Arena bolasepak Pahang menerima perkhabaran duka, berikutan kembalinya YM Raja Mustafa Shah Raja Jalil Shah ke rahmatullah hari ini.

Beliau yang merupakan Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) meninggal dunia setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 3 Jalan Pekan-Kuantan.

Kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu turut mengorbankan seorang lagi lelaki, Azuwan Zainal Abidin.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 11.05 pagi, membabitkan pacuan empat roda (4×4), kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Menurutnya, siasatan awal mendapati 4×4 dipandu Azuwan dari arah Pekan menghala ke Kuantan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta dipandu Raja Mustafa.

Baca juga: Kenali DS Vida, Wanita Unik Kental Berjiwa Bola

“Kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Manakala pemandu MPV yang gagal mengelak dan melanggar kereta mangsa pula tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Figura Dihormati, Dikagumi dan Disenangi

Sementara itu, bagi penyokong bolasepak dan futsal di Pahang, Raja Mustafa Shah adalah figura yang cukup dihormati, dikagumi dan disenangi.

“Ia hari yang cukup menyedihkan, kita kehilangan seorang figura hebat yang merupakan penyokong kuat Pahang Rangers. Semangat dan keterujaan beliau kepada sukan ini tidak pernah sekalipun pudar. Baik bolasepak atau futsal, beliau akan sentiasa ada bersama memberikan sokongan,” ujar Pahang Rangers FC.

Tinjauan Otaistation di laman sosial Sri Pahang mendapati ramai menyifatkan beliau yang mesra dengan panggilan Ku Por atau Ayah Por seorang yang sangat merendah diri dan cukup rapat dengan pemain-pemain muda.

Meskipun nama beliau kurang didendangkan, beliau dianggap orang kuat belakang tabir terutama dalam pemerkasaan bolasepak akar umbi.

“Beliau menganggap pemain-pemain seperti anaknya sendiri, disebabkan itu semua cukup rapat dan mesra dengan beliau. Ia satu kehilangan besar,” kata seorang penyokong.

“Ku Por tidak suka menonjolkan diri, mungkin sebab itu nama beliau tidak popular sepertimana individu lain. Seorang yang sentiasa tersenyum. Sumbangannya kepada bolasepak Pahang akan sentiasa dikenang dan dihargai,” tambah seorang lagi penyokong.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!