Ketua jurulatih Pahang Rangers, Eloy Alonso mendedikasikan kemenangan dominan 6-1 pasukannya ke atas ATM dalam saingan Malaysia Premier Futsal League pada Ahad, kepada pengurus pasukan Syahir Ab Aziz.
Syahir tidak dapat bersama pasukan setelah terlibat di dalam kemalangan di Sungai Lerek, Setiu, sehari sebelum perlawanan. Beliau ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kuantan bersama keluarga selepas menghadiri majlis perkahwinan pemain Pahang Rangers yang juga pemain kebangsaan, Harith Naim Mohd Nasir di Machang, Kelantan.
Rakaman CCTV menunjukkan keretanya dirempuh sebuah Perodua Axia yang dipandu laju dari arah bertentangan. Mengikut maklumat, Syahir sekeluarga menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, dengan anak lelakinya mengalami patah kaki.
“Dia sepatutnya menyertai pasukan di Shah Alam selepas pulang dari majlis Harith Naim, tetapi perkara malang terjadi. Kemenangan dan tiga mata ini dari saya dan semua pemain buat Syahir. Doa kami sentiasa bersama Syahir sekeluarga, semoga segera sembuh,” kata Eloy Alonso.
Dalam aksi di Stadium Panasonic Shah Alam, ketiadaan pengantin baru Harith Naim serta dua lagi tonggak Hamdin Zharif dan Syazwan Ashraff tidak merencatkan permainan Pahang Rangers yang tampil garang merekodkan kemenangan ketujuh dari sembilan perlawanan.
Tonggak import Felipe de Souza dan Rodrigo da Silva masing-masing cemerlang menjaringkan hatrik buat Pahang Rangers tatkala gol tunggal ATM dijaringkan oleh Imran Samsudin. Kemenangan menyaksikan Pahang Rangers mengukuhkan cengkaman di kedudukan tiga teratas, dipisahkan hanya menerusi beza jaringan dengan juara bertahan JDT.
Aksi seterusnya, mereka akan berdepan pendahulu liga, Selangor, dengan misi membalas dendam kekalahan di SUKPA tempoh hari dalam masa sama menyekat rentak sempurna sang gergasi merah kuning yang sehingga kini belum mencicirkan sebarang mata dalam sembilan perlawanan.



