HomeSukanChelsea Mungkin Mahu Uji Pemain Sahaja Jumpa JDT

Chelsea Mungkin Mahu Uji Pemain Sahaja Jumpa JDT

Peminat bolasepak tanah air diingatkan supaya tidak meletakkan harapan tinggi untuk menyaksikan perlawanan yang menarik dan kompetitif apabila juara Liga Super, JDT dan Chelsea bertemu dalam aksi persahabatan pada Ahad ini.

Ini kerana Chelsea berkemungkinan besar tidak akan menurunkan skuad utama mereka, memandangkan kelab Liga Perdana Inggeris itu akan menentang AC Milan di Jakarta sehari sebelum terbang ke Johor.

Pengkritik bolasepak, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat jadual padat jelajah pramusim Chelsea di Asia sudah tentunya akan menjejaskan kualiti perlawanan justeru sukar untuk mengharapkan perlawanan yang menghiburkan.

“Apa yang boleh kita jangkakan daripada segi kualiti perlawanan pada ketika Chelsea akan bermain menentang AC Milan di Jakarta sehari sebelumnya? Mereka mempunyai skuad yang besar untuk melakukan penggiliran pemain dan ini hanyalah jelajah pramusim mereka. Saya menjangkakan perlawanan ini tidak akan berlangsung pada intensiti yang tinggi,” katanya dilaporkan oleh Timesport.

Skuad The Blues ketika ini sedang menggunakan jelajah Asia sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi musim baharu EPL, dengan pengurus, Xabi Alonso dijangka memberi keutamaan kepada tahap kecergasan pemain, penilaian skuad serta mengelakkan kecederaan berbanding mengejar keputusan.

Ini menyebabkan beberapa pemain utama mereka mungkin hanya beraksi dalam tempoh yang terhad ketika menentang JDT nanti.

Namun Pekan percaya situasi itu boleh memberi kelebihan kepada JDT yang dijangka berada pada tahap lebih bersedia selepas melengkapkan kem latihan pramusim mereka di Eropah.

“Saya rasa sukar untuk menyaksikan perlawanan yang benar-benar kompetitif. JDT mungkin berada dalam keadaan terbaik selepas menjalani pramusim di Eropah, tetapi Chelsea berkemungkinan tidak akan menurunkan pemain terbaik mereka.

“Bagaimanapun, ini tetap merupakan satu pencapaian besar buat JDT yang terus mengukuhkan reputasi sebagai antara kelab terbaik di Asia. Perlawanan ini memberi imej yang sangat baik kepada JDT apabila kelab gergasi EPL seperti Chelsea sanggup beraksi menentang mereka. JDT sedang meletakkan penanda aras yang tinggi di rantau ini.

“Ia juga satu penghormatan besar buat JDT kerana kebiasaannya kelab-kelab EPL lebih cenderung mengadakan perlawanan menentang pasukan kebangsaan atau kelab-kelab luar negara,” katanya.

Menurut Pekan lagi, pertemuan itu akan menjadi pentas terbaik buat JDT mempamerkan kemajuan serta cita-cita mereka di pentas bola sepak Asia.

“Walaupun tidak berlangsung dengan intensiti yang tinggi, saya percaya JDT tetap akan turun dengan misi mencipta kemenangan bersejarah, lebih-lebih lagi dengan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa menuntut kecemerlangan daripada para pemainnya,” tambah Pekan lagi.

RELATED ARTICLES

Most Popular