Bintang baru skuad Harimau Malaya, Wan Kuzain Wan Kamal berpandangan bolasepak Malaysia perlu berani memasang impian yang lebih besar.
Wan Kuzain yang membuat penampilan sulung dalam jersi Malaysia ketika menewaskan Myanmar 2-1 dalam aksi pembuka tirai Piala ASEAN 2026 pada Sabtu, berkata pengalaman membesar dan menimba ilmu bola sepak di Amerika Syarikat membentuk dirinya untuk berani menyahut cabaran tanpa gentar dengan reputasi lawan.
“Membesar di AS, anda sentiasa diajar untuk mencuba dan berani melakukannya. Siapa peduli sama ada anda datang ke kejohanan ini sebagai pasukan terbaik atau pasukan paling lemah? Pada akhirnya, semua pasukan bermula dengan kosong mata,” kata pemain tengah berusia 28 tahun itu dilaporkan Timesports.
Justeru, Wan Kuzain mahu semua pemain Harimau Malaya mempunyai mentaliti sama dan perlu percaya bahawa mereka boleh menjuarai Piala ASEAN ini sekali lagi seterusnya layak berada dalam kelompok elit Asia Tenggara.
Malaysia kali terakhir menjuarai kejuaraan serantau itu pada 2010 dengan menundukkan Indonesia di perlawanan akhir, manakala juara bertahan Vietnam dan Thailand yang sudah tujuh kali muncul juara mendominasi saingan tersebut sejak dua dekad lalu.
“Saya tahu kita pernah memenanginya. Saya pernah menonton rakaman semula dan melihat gol-gol tersebut. Jadi, kenapa tidak kita ulanginya?” katanya sambil berharap dapat membantu rakan sepasukan membina keyakinan.
Wan Kuzain mendapat pendidikan bola sepak di St Louis Scott Gallagher Academy sebelum menyertai Sporting Kansas City, di mana dia menjadi pemain Malaysia pertama menjaringkan gol dalam Major League Soccer pada 2018. Kini, dia beraksi bersama Sporting JAX dalam saingan USL Championship.
“Dari usia 10 hingga 17 tahun, ibu bapa saya memandu sejauh dua jam untuk menghantar saya ke latihan, dua jam untuk pulang dan menunggu saya sebelum kami bertolak pulang. Keseluruhannya, perjalanan itu mengambil masa enam atau tujuh jam.
“Ibu bapa saya telah banyak berkorban. Saya mendapat salah satu pendidikan bola sepak terbaik yang mungkin boleh saya peroleh di Amerika atau di dunia. Saya akan cuba gunakan segala yang mereka ajarkan kepada saya dalam situasi seperti ini,” katanya.



