HomeSukanTiga Orang Lama Dicalonkan Untuk Jawatan Presiden FAM

Tiga Orang Lama Dicalonkan Untuk Jawatan Presiden FAM

Harapan besar penyokong bolasepak tanah air untuk menyaksikan muka baru dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baru nampaknya tidak akan menjadi kenyataan. Ini kerana setelah pencalonan ditutup pada Ahad lalu, tiga nama telah dicalonkan dan ketiga-tiganya adalah orang lama yang sudah pernah memegang jawatan di dalam badan induk itu.

Menurut sumber BH Sukan, semua calon tersebut ketika ini sedang dalam proses saringan integriti oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM serta membabitkan tiga agensi iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDL).

“Difahamkan tiga calon bakal bersaing merebut jawatan presiden. Bagaimanapun pencalonan itu masih belum dapat disahkan dan perlu menunggu FAM membuat pengumuman rasmi. Semua senarai calon ketika ini dalam proses saringan.”

Untuk rekod, kali terakhir jawatan Presiden FAM menyaksikan pertandingan adalah pada Kongres Pemilihan 2014 apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdepan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Selain kerusi presiden, jawatan lain dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM seperti naib presiden dan exco juga bakal menyaksikan persaingan sengit. Ini disebabkan oleh pengecilan jumlah jawatan, pengurangan pencalonan minimum dan juga pertambahan ahli gabungan.

Bagi jawatan naib presiden 1, ia dikatakan akan menyaksikan pertandingan empat penjuru dan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan naib presiden 3, manakala naib presiden 2 menjadi kerusi automatik kepada Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Tujuh kerusi EXCO yang dipertandingkan turut menjadi perebutan hangat dengan berbelas calon dikatakan bakal merebut jawatan itu dan berdasarkan statut baharu yang diluluskan pada 4 Jun lalu, kerusi EXCO dibahagikan dengan penetapan tiga kerusi untuk Persatuan Bola Sepak (FA).

Baki empat kerusi EXCO diberikan dua untuk Kelab Bola Sepak (FC), satu kerusi untuk pakar (Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia atau Persatuan Pengadil) serta satu kerusi untuk wanita.

RELATED ARTICLES

Most Popular