HomeSukanWartawan Ditahan Polis Selepas Melaporkan Spekulasi Perpindahan Palsu

Wartawan Ditahan Polis Selepas Melaporkan Spekulasi Perpindahan Palsu

Gara-gara melaporkan khabar angin perpindahan palsu, seorang wartawan bola sepak ditahan polis.

Wartawan Turkiye, Burhan Can Terzi, melaporkan Galatasaray hampir mendapatkan bintang Bayern Munich dan Jerman, Jamal Musiala namun Pejabat Ketua Pendakwa Raya Bakırköy mengarahkannya ditahan atas dakwaan ‘menyebarkan maklumat tidak tepat dan mengelirukan kepada umum’.

Pertuduhan itu dibuat berdasarkan undang-undang antipenyahmaklumat Turkiye yang diperkenalkan pada 2022, yang mengenakan hukuman jenayah terhadap penyebaran maklumat dianggap palsu sekiranya pihak berkuasa mendakwa ia boleh mencetuskan ketakutan atau kekacauan.

Terzi menjadi wartawan sukan pertama ditahan atas dakwaan berkenaan dalam situasi yang dianggap belum pernah berlaku sebelum ini, menurut beberapa media antarabangsa.

Terzi dibebaskan beberapa jam kemudian, dengan media Greece, Gazzetta, melaporkan beliau dibenarkan pulang tanpa sebarang sekatan susulan. Selepas dibebaskan, Terzi tetap mempertahankan dakwaannya mengenai usaha Galatasaray mendapatkan Musiala.

Wartawan itu sebelum ini melaporkan bulan lalu bahawa Musiala “sebahagian besarnya sudah bersetuju” untuk menyertai kelab Turkiye berkenaan. Dakwaan itu menyebabkan Galatasaray mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan berita perpindahan berkenaan.

Dalam kenyataannya, Galatasaray berkata: “Baru-baru ini, maklumat mengenai kelab kami sengaja disebarkan kepada umum dan ia tidak benar. Dakwaan bahawa pemain bola sepak profesional Jamal Musiala akan berpindah ke Galatasaray adalah tidak benar.

“Menjadikan dakwaan yang jelas tidak masuk akal ini sebagai topik utama adalah usaha membentuk persepsi untuk mengelirukan orang ramai dan memburukkan usaha perpindahan yang dilakukan kelab kami.

“Galatasaray menjalankan aktiviti perpindahan dengan penuh teliti dan sulit demi kepentingan kelab. Berita tidak benar dan dakwaan spekulatif tidak akan mengubah prinsip serta matlamat kerja kami.”

Galatasaray turut meminta penyokongnya supaya hanya merujuk kenyataan rasmi kelab dan tidak mempercayai berita atau spekulasi yang tidak benar.

Musiala menyertai akademi Bayern Munich dari Chelsea pada 2020. Pemain berusia 23 tahun itu kemudian membuat 231 penampilan bersama kelab Jerman berkenaan dan memenangi enam kejuaraan Bundesliga.

RELATED ARTICLES

Most Popular