Pengendali Manchester City, Pep Guardiola tampil memberi penjelasan mengenai komen ‘saya mahu mencederakan diri’ yang dibuatnya selepas perlawanan Liga Juara Eropah menentang Feyenoord pada Selasa.
Dalam sidang media selepas perlawanan, Guardiola menjawab demikian setelah ditanya oleh wartawan tentang kesan luka di hidung dan calar-balar di kepalanya.
Baca juga : Ruud van Nistelrooy kembali hangatkan EPL
Ia secara langsung menggambarkan Guardiola cukup kecewa dan tidak dapat menerima kenyataan. Pasukannya yang mendahului 3-0 di laman sendiri sehingga minit ke-75, mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 3-3.
“Luka ini, ya disebabkan kuku saya. Saya mahu cederakan diri sendiri,” jawabnya.
Berikutan kenyataannya itu, ramai yang membuat andaian ia adalah tanda mengalami gangguan mental dan menasihatkannya supaya berjumpa pakar psikiatri.
Ada yang menasihatkannya supaya mengambil rehat seketika daripada bolasepak.
Guardiola bagaimanapun tampil menepis tanggapan tersebut, ini penjelasannya:
“Saya terkejut apabila diajukan soalan mengenai luka di hidung di penghujung sidang media. Saya sebenarnya tidak menjangkakan soalan tersebut dan menjawab kuku saya yang tajam telah menyebabkan luka tersebut secara tidak sengaja.
“Jawapan saya juga, tidak sekalipun bermaksud saya mengambil ringan tentang isu serius mencederakan diri. Tiada isu dengan kesihatan mental.
“Saya tahu ramai yang bergelut dengan masalah kesihatan mental setiap hari, dan saya mahu ambil kesempatan mencadangkan satu cara anda boleh minta bantuan,” ujarnya sambil memberikan nombor Samaritan Hotline.
Guardiola sedang melalui tempoh paling buruk dalam karier kejurulatihannya, dengan City tewas lima perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan sebelum seri menentang Feyenoord.
Situasi itu mungkin akan bertambah buruk buat City yang diaibkan Tottenham Hotspurs dengan kekalahan 4-0 di laman sendiri minggu lalu. Aksi seterusnya mereka bertandang ke Anfield untuk menentang pendahulu liga, Liverpool.