Ruud van Nistelrooy dijangka akan kembali menghangatkan saingan English Premier League (EPL) apabila dikatakan sudah bersetuju untuk mengemudi Leicester City.
Bekas penyerang Belanda itu sebelum ini berperanan sebagai penolong kepada Eric Ten Hag di Manchester United. Selepas pemecatan Ten Hag, van Nistelrooy bertindak selaku pengurus interim dan membimbing Red Devils dalam empat perlawanan.
Dia berjaya memulihkan prestasi United, dengan mencatat tiga menang dan satu seri dalam empat aksi tersebut. Namun begitu, dia diberitahu tiada tempat untuknya dalam barisan kejurulatihan baru pasukan itu di bawah Ruben Amorim.
Baca juga: Arteta Buat Silap Dalam Hal Nwaneri
Ini membuatkan van Nistelrooy mengambil keputusan meninggalkan United pada hari Amorim tiba untuk memulakan tugasnya di Old Trafford.
Dia dilaporkan telah pulang ke Belanda, namun menerima beberapa tawaran daripada kelab-kelab Eropah yang menawarkannya jawatan sebagai pengurus.
Satu-satunya pengalaman Nistelrooy sebagai pengurus skuad senior sebelum ini adalah bersama PSV pada musim 2022/23, membimbing mereka memenangi Dutch Cup.
Leicester pula ada mempertimbangkan bekas boss Bayern Munich, Niko Kovac dan pengurus West Brom, Carlos Corberan sebagai calon pengganti, sebelum menunjukkan minat terhadap Nistelrooy.
Mereka baru-baru ini memecat Steve Cooper selepas hanya enam bulan pengurus itu dilantik menggantikan Enzo Maresca. Ini berikutan prestasi tidak konsisten yang menyebabkan juara EPL 2015/16 itu bergelut di zon penyingkiran.
Kelab itu menyatakan meskipun berstatus pendatang baru dalam EPL, mereka sepatutnya berada di kedudukan baik dalam liga. Kegagalan untuk menewaskan Ipswich Town dan Everton turut disifatkan sebagai keputusan yang tidak boleh diterima.