Hamidin berundur satu kerugian besar kerana sumbangannya yang besar dalam mengangkat mutu bolasepak negara secara keseluruhan.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menyifatkan keputusan Tan Sri Hamidin untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden FAM, adalah satu kehilangan yang besar.
Ini kerana mengambil kira sumbangan dan perubahan yang dibawa Hamidin dalam mengangkat mutu bola sepak negara secara keseluruhan, sejak dilantik menduduki kerusi no.1 badan induk itu pada 2018.
“Kita akan merasakan kehilangan beliau yang telah membawa perubahan dalam bola sepak negara. Sepanjang kira-kira enam tahun di FAM beliau telah meletakkan persatuan ini lebih baik daripada sebelumnya.
“Jadi sesiapa yang menawarkan diri (menggantikan Hamidin) perlu mengambil tanggungjawab ini. Pada saya ini adalah kerusi panas, yang akan menentukan masa depan FAM ini di tangan ahli gabungan. Mereka kena cari dan fikirkan untuk kesinambungan selepas ini,” katanya kepada Bernama.
Keputusan Hamidin berundur tepat
Bagi bekas pengurus skuad kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar pula, beliau berpendapat Hamidin telah membuat keputusan tepat.
“Mengenali beliau, saya rasa beliau ambil tanggungjawab penuh untuk tidak mempertahankan jawatan sebab akhir-akhir ini macam-macam versi cerita (khabar angin) keluar.
“Bila pelbagai cerita keluar ditambah pula prestasi pasukan kebangsaan sendiri yang belum layak lagi ke Piala Asia, selain beberapa siri kontroversi seperti pemergian Kim Pan Gon secara tiba-tiba yang merencatkan perjalanan skuad itu sendiri.
“Pada pandangan saya keputusan beliau satu tindakan yang tepat. Mengambil kira beberapa faktor untuk memberi ruang dan peluang kepada muka-muka baharu menawarkan diri bertanding,” katanya.
Baca juga: Kisah Hamidin, Dari Penyokong Biasa Bergelar Presiden FAM
Untuk rekod, Hamidin dilantik sebagai Presiden FAM menggantikan Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim ketika Kongres FAM ke-54 pada Julai 2018.
Beliau kemudiannya mempertahankan jawatan itu untuk penggal 2021-2025 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57.
Hamidin ketika ini merupakan Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027 dan seorang daripada Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC.