Tan Sri Hamidin Mohd Amin membuat keputusan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden FAM pada kongres pemilihan badan induk itu pada tahun depan.
Menurutnya, keputusan itu diambil bagi memberi ruang kepada ahli gabungan memilih presiden baharu.
“Ini keputusan saya selepas berbincang dengan keluarga. Jadi saya fikir tiada apa pun yang pelik, presiden dan exco baharu yang akan datang mungkin lebih baik daripada saya dan boleh bawa FAM pergi lebih jauh.
“Tak ada (kaitan dengan desakan penyokong), itu memang keputusan saya. Bukan sekarang, saya sudah lama buat keputusan untuk habiskan penggal ini.
Untuk makluman, Hamidin menduduki kerusi Presiden FAM sejak 2018, mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.
Dari Seorang Penyokong Tegar, Menjadi Orang No.1 FAM
Tan Sri Hamidin secara rasmi dilantik Presiden FAM yang baru sejurus berakhir Kongres Tahunan FAM yang ke-54 pada 14 Julai 2018.
Hamidin mencipta sejarah sebagai ’orang biasa’ pertama untuk menduduki kerusi nombor satu FAM itu kerana enam presiden sebelum beliau, sama ada merupakan orang politik ataupun orang istana.
Baca juga: Tragedi Jakarta 1997, Skuad Kebangsaan Dibubar
Selepas negara mencapai kemerdekaan, tiga Presiden yang pertama adalah Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj (1958 – 1974), Tun Abdul Razak (1974 – 1976) dan Tan Sri Hamzah Abu Samah (1976 – 1983) yang merupakan ahli politik.
Tiga presiden selepas itu pula adalah kerabat istana bermula dengan Sultan Ahmad Shah (1983 – 2014), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (2013 – 2017) dan Tunku Ismail (2017 – 2018).
Hamidin pula berlatar belakang sebagai seorang bekas pekerja bank yang kemudiannya terbabit dalam pentadbiran bolasepak bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).
Hamidin berkhidmat di tiga buah bank sepanjang 11 tahun iaitu Bank Pertanian Malaysia (1984 – 1985), Malayan Banking Berhad (1985 – 1991) dan Perwira Habib Bank Berhad (1991 – 1995) dan merupakan orang kuat dalam Kelab Penyokong Bolasepak Selangor.
Pastinya beliau sendiri tidak menyangka, seorang penyokong tegar akan berada di kedudukan tertinggi bolasepak tanah air.
Kukuhkan CV Bersama FAS
Nama Hamidin mula dikenali dalam arena bolasepak apabila beliau meninggalkan bidang perbankan dan menyertai FAS sebagai Setiausaha Eksekutif pada 1 Ogos 1995. Selepas itu dia dilantik sebagai Setiausaha Agung pada 1 Januari 1998 – jawatan yang disandangnya sehingga 2013.
Dalam tempoh 18 tahun bersama FAS itu, Hamidin berjaya mengembangkan bakat kepimpinan dan mengukuhkan ‘CV’ nya dalam bidang pentadbiran bolasepak. Beliau berjaya membina imej serta reputasi cukup baik yang dikagumi ramai.
Beliau berkhidmat di bawah enam Presiden FAS iaitu Tan Sri Muhammad Muhamad Taib, Dato’ Mohd Aini Taib, Tengku Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Tengku Datuk Seri Ahmad Shah, Dato’ Seri Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Sewaktu bersama FAS, Hamidin pernah banyak terlibat di dalam jawatankuasa-jawatankuasa FAM. Antaranya sebagai Exco FAM dari 2007-2010 dan Naib Presiden dari 2010-2014.
Seterusnya pada 27 Jun 2013, Hamidin dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM yang baru menggantikan Datuk Azuddin Ahmad. Â
Beliau merupakan Setiausaha Agung ketujuh FAM selepas Datuk Kwok Kin Keng (1951-1980), Datuk Paul Murugasu (1980-1985), Datuk Dell Akbar Khan Kyder Khan (2000-2005), Datuk Seri Ibrahim Saad (2005-2007) dan Azuddin (2007-2013).
Berikutan pelantikan itu, Hamidin terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden FAM, Pengerusi JKPT FAM, serta jawatan di FAS.
Meskipun tiga kali kerusi presiden bertukar pemilik dari Sultan Ahmad Shah kepada Tengku Abdullah dan kemudiannya Tunku Ismail, kepercayaan terhadap kredibiliti Hamidin tidak terhakis.
TMJ Sendiri Calonkan Hamidin Sebagai Presiden Baru
Maka tidak hairanlah apabila Tunku Ismail sendiri menamakan Hamidin sebagai individu paling layak menggantikannya selepas baginda meletakkan jawatan pada 25 Mac 2018.
Tunku Ismail menyatakan, Hamidin berpengalaman luas dan mengetahui selok-belok dalam bolasepak dengan cukup arif. TMJ turut menegaskan ia bukan sesuatu yang baru untuk Setiausaha Agung dilantik sebagai Presiden kerana mereka memahami sistem bolasepak itu.
Malah baginda mengakui mempunyai hubungan baik dengan Hamidin dan meminta semua ahli gabungan untuk memberikan sokongan kepada Hamidin. Menurutnya ia akan memudahkan kerjasama antara FAM dan Malaysia Football League (MFL).
Tokoh-tokoh sukan tanah air pula berpendapat Hamidin calon paling layak kerana mempunyai hubungan baik dengan persatuan bolasepak luar negara serta badan-badan seperti AFF, AFC) dan FIFA.
Sebaik pencalonan dibuka, Hamidin telah menerima 18 pencalonan – hanya Persatuan Bolasepak Negeri Pahang dan Kuala Lumpur mencadangkan Datuk Seri Azim Mohd Zabidi dan Tan Sri Annuar Musa sebagai calon lain.
Kedua-dua Azim dan Annuar bagaimanapun membuat keputusan menarik diri pada ketika itu kerana pelbagai komitmen lain, membolehkan Hamidin akhirnya menang jawatan presiden tanpa dicabar.
Beliau kemudian mempertahankan jawatan pada penggal 2021-2025, juga menang tanpa bertanding.
Terima kasih Tan Sri Hamidin atas sumbangan sepanjang bersama FAS dan FAM, semoga pengganti dapat meneruskan legasi yang tinggalkan, dan memacu bolasepak tanah air ke tahap lebih tinggi.