Insiden handball Luis Suarez terpahat sebagai satu daripada momen jahat terulung dalam sejarah Piala Dunia.
Setiap edisi Piala Dunia ada cerita tersendiri, terlalu banyak momen ataupun detik-detik yang masih dikenang walaupun dekad berlalu.
Begitu jugalah kisah di Piala Dunia Afrika Selatan 2010. Ia menyajikan pelbagai coretan warna-warni penuh suka-duka, kontroversi, drama, ketegangan hinggalah saat penutup penuh emosi.
Bukan sahaja atas kejayaan Sepanyol bergelar juara dunia buat pertama kali dengan menewaskan Belanda. Tetapi South Africa 2010 akan turut dikenang dan diperkatakan atas beberapa insiden mencetus kontroversi dan menjadi perdebatan hangat.
Baca juga: Mengenang Momen Ikonik dan Detik Kotor Piala Dunia 2002
Siapa boleh lupa gol Frank Lampard yang tidak dikira ketika menentang Jerman, ia menjadi pemangkin dan detik signifikan di dalam pengenalan teknologi garisan gol. Namun insiden paling menimbulkan huru-hara, sudah tentunya insiden ‘hand of God’ Luis Suarez.
Jika insiden ‘hand of God’ Maradona adalah simbolik kepada gol menggunakan tangan pada Piala Dunia 1986, ‘hand of God’ Luis Suarez pula simbolik kepada tindakan pemain itu menampan bola di atas garisan gol ala-ala penjaga gol ketika perlawanan suku akhir South Africa 2010 antara Uruguay dan Ghana.
Keinginan seorang pemain menyelamatkan pasukannya dalam apa jua cara diterjemahkan dengan tindakan yang mencemari semangat kesukanan. Dan ia terpahat sebagai salah satu momen kotor terulung dalam sejarah Piala Dunia.
Tampanan Cemerlang di Garisan Gol
Pada perlawanan berlangsung 2 Julai 2010, pertembungan Uruguay dan Ghana berlanjutan ke masa tambahan selepas kedudukan terikat 1-1 di masa sebenar.
Ketika perlawanan memasuki minit-minit akhir, serangan berbahaya Ghana menyaksikan bola tandukan Dominic Adiyiah menuju untuk menerjah gawang Uruguay. Ia akan membawa Ghana mencipta sejarah sebagai pasukan Afrika pertama layak ke separuh akhir Piala Dunia.
Ia adalah gol yang pasti, begitupun tepat di atas garisan gol, bola diselamatkan dengan satu tampanan cemerlang. Bukan oleh penjaga gol, tetapi Luis Suarez! Penyerang itu menyelamatkan bola dari menerjah gawang menggunakan tangan dengan sengaja.
Dia dilayangkan kad merah oleh pengadil dan Ghana dihadiahkan penalti. Dengan Ghana beroleh satu lagi talian hayat, Asamoah Gyan bagaimanapun merembat bola penalti mengenai palang, gagal menyudahkan peluang keemasan.
Suarez yang berkesempatan menyaksikan debaran tersebut dalam laluan menuju ke bilik persalinan, melompat girang tanpa rasa bersalah dan perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti. Uruguay menang dengan keputusan 4-2.
“Bukan Salah Saya, Tak Perlu Minta Maaf”
Pada ketika bola tangan itu sendiri cukup dramatik dan mencetus perdebatan, komen Suarez selepas perlawanan menambahkan lagi ketegangan dan suasana panas.
Berbanding menunjukkan rasa bersalah ataupun penyesalan, Suarez dengan bangga menyatakan ‘saya telah membuat save of the tournament’ dan menambah “Kenapa marah saya, bukan saya yang sepak penalti tak masuk.”
Dengan kemarahan penyokong Ghana semakin membuak, Suarez tiada langsung cuba meredakan keadaan dengan meminta maaf. Dia sebaliknya mempertahankan tindakannya sebagai ‘pengorbanan yang halal demi pasukan’.
Bagi Luis Suarez, ia bukan insiden handball itu yang merubah keputusan perlawanan, tetapi kegagalan Asamoah menyudahkan penalti.
“Mereka anggap saya sebagai pesalah, suruh minta maaf. Tetapi saya dilayangkan kad merah kerana tindakan itu. Mereka lupa yang menendang bola terkena palang bukan saya, jadi buat apa saya perlu minta maaf,” ujarnya.
Di Uruguay, Suarez dijulang, dianggap legenda dan wira negara kerana membawa pasukan itu ke separuh akhir buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun.
Namun di Ghana dan seluruh Afrika dia dianggap sebagai penipu yang telah merompak dan merosakkan detik bersejarah buat benua itu.
Setiap kali ditanya mengenai insiden itu, Suarez tidak pernah berubah pendirian, teguh pada kata-katanya. Dia menegaskan melakukan segala yang terdaya untuk negaranya dan ayat ‘bukan saya yang sepak penalti tak masuk’ diulangnya dalam setiap wawancara.
Satu tindakan, sesaat yang merubah sejarah. Luis Suarez, hero Uruguay, villain Piala Dunia.