Dihoskan bersama oleh Korea Selatan dan Jepun, Piala Dunia 2002 menyajikan pelbagai momen luar biasa diimbangi detik-detik kontroversi yang mencemarkan prestij pertandingan.
Maka tidak hairanlah ia dianggap sebagai antara edisi Piala Dunia paling ‘kotor’ dalam sejarah.
Ia bukan sekadar kisah kebangkitan Brazil dan Ronaldo yang menebus kekecewaan di Piala Dunia 1998, namun menjadi pentas kejutan pasukan underdog seperti Senegal, Turki serta kedua-dua tuan rumah.
Dari tersingkirnya juara bertahan Perancis, Argentina dan Portugal seawal peringkat kumpulan hingga ke kesilapan berprofil tinggi David Seaman, lakonan bertaraf Oscar Rivaldo serta kad merah kepada nama-nama besar seperti Thierry Henry, Ronaldinho dan Francesco Totti.
Dari jaringan gol terpantas dunia hingga ke pengadilan berat sebelah memihak kepada Korea Selatan, begitulah sebahagian daripada cerita yang menghiasi Piala Dunia 2002, menjadikannya roller-coaster emosi bagi peminat bolasepak seluruh dunia.
Otaistation mengimbas kembali momen-momen ikonik dan kontroversi yang telah menjadi identiti Piala Dunia yang tidak dapat dilupakan ini.
Senegal Kejutkan Perancis
Seawal aksi pembukaan, Senegal dalam debut mereka di Piala Dunia, mencipta kejutan sensasi dengan menewaskan juara bertahan Perancis 1-0.
Jaringan Bouba Diop memacu Senegal melakar satu daripada kejutan terbesar dalam sejarah aksi pembukaan Piala Dunia. Mereka kemudian mencipta satu lagi sejarah, sebagai pasukan Afrika pertama mara sehingga ke suku akhir.
Lakonan Bertaraf Oscar Rivaldo
Brazil pula memulakan kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Turki. Begitupun Rivaldo lebih mencuri tumpuan apabila rebah dengan penuh dramatik sambil menekup muka setelah Hakan Unsal menyepak bola mengenai pahanya.
Lakonannya berjaya memperdayakan pengadil. Unsal dilayangkan kad kuning kedua dan Turki terpaksa bermain 9 orang setelah terdahulu Alpay Ozalan diperintah keluar padang.
Panel Tatatertib FIFA kemudian mendenda Rivaldo atas insiden itu, setelah melakukan siasatan. Ia dianggap antara detik famous yang mencemari semangat kesukanan.
Jerman ‘Habiskan’ Kuota Gol Belasah Arab Saudi
Jerman pula membuka kempen dengan kemenangan besar 8-0 ke atas Arab Saudi, dengan Miroslav Klose meledak tiga gol pertama peribadi di Piala Dunia dalam aksi ini. Ia adalah satu daripada kemenangan terbesar dalam sejarah pertandingan.
Menariknya selepas pesta gol ini, Jerman menjaringkan hanya enam gol dalam enam perlawanan. Nampaknya kuota jaringan mereka habis dalam perlawanan ini.
Tersingkirnya Perancis, Argentina, Portugal
Tiada yang menyangka, ia akan menjadi kejohanan penuh malapetaka buat Perancis. Bukan sahaja gagal menjaringkan sebarang gol walaupun membawa bersama barisan serangan terbaik dunia dalam kelibat Thierry Henry, Djibril Cisse, David Trezeguet, Sylvain Wiltord dan Cristopher Dugarry, mereka berakhir di tangga tercorot dengan hanya satu mata.
Henry turut dilayangkan kad merah ketika menentang Uruguay.
Argentina pula, langsung tidak menyengat. Kekalahan kepada England menerusi penalti David Beckham dalam aksi kedua, serta kegagalan menewaskan Sweden dalam perlawanan wajib menang menyaksikan skuad Marcelo Bielsa ditunjukkan jalan keluar lebih awal.
Skuad bintang Portugal dengan nama-nama besar seperti Luis Figo, Sergio Conceicao, Nuno Gomes dan Rui Costa gagal menepati ekspetasi. Dua kekalahan tidak diduga kepada USA dan Korea Selatan menyingkirkan mereka dari saingan.
Langkahan Sensasi Jepun dan Korea Selatan
Jepun pada hakikatnya gagal layak secara merit ke Piala Dunia, hanya bersandarkan kepada tiket sebagai tuan rumah semata-mata.
Ini menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak, beranggapan satu slot dibazirkan kepada pasukan yang tidak berkredibiliti. Namun mereka menutup mulut pengkritik dengan muncul juara Kumpulan H mengatasi Belgium, Russia dan Tunisia. Langkahan sensasi mereka dinoktahkan Turki di pusingan kedua.
Korea Selatan pula mengungguli Kumpulan D mengatasi Poland, Portugal dan USA. Mereka meneruskan langkahan giant-killer dengan menyingkirkan Itali dan Sepanyol (kedua-duanya dengan bantuan pengadil, huraian lanjut di point berikutnya) sebelum tewas kepada Jerman di separuh akhir.
Gol Sepakan Percuma dan Kad Merah Ronaldinho
Dalam aksi suku akhir menentang England, Ronaldinho menjaringkan gol sepakan percuma jarak jauh menewaskan David Seaman. Sehingga ke hari ini, ia dikenang sebagai satu daripada gol nasib tercantik pernah disaksikan.
David Seaman keluar daripada posisi dan gagal menduga dengan tepat arah tuju bola tersebut. Tujuh minit selepas gol itu, Ronaldinho dilayangkan kad merah setelah mengasari Danny Mills.
Pengadilan Terburuk Dalam Sejarah
Itali vs Korea Selatan: Mungkin tiada mutu pengadilan lebih buruk dari perlawanan ini dalam sejarah. Semuanya serba tidak kena buat Itali sejak dari saat mereka menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-18 menerusi Christian Vieri.
Perlawanan berubah menjadi agresif, pengadil Byron Moreno buat tidak nampak kekasaran demi kekasaran ke atas pemain Itali, walaupun berlaku di depan mata. Namun memberikan penalti mudah buat Korea Selatan, yang diselamatkan Gianluigi Buffon.
Selagi Korea Selatan tidak mendapat jaringan, selagi itu Itali berdepan masalah pengadilan. Begitulah kesimpulannya. Deretan keputusan berat sebelah menyebelahi Korea Selatan menyaksikan intensiti perlawanan memuncak.
Itali berpesta protes, tetapi tidak diendahkan. Mereka juga mempertikai jaringan penyamaan minit akhir Korea yang mengheret perlawanan ke masa tambahan, dengan alasan berlaku foul dalam build-up, tetapi tiada guna.
Menambah ketegangan, jaringan Damiano Tomassi di masa tambahan yang sepatutnya membawa Itali mara, dibatalkan pengadil atas alasan ofsaid, sedangkan dengan jelas ia bukan ofsaid.

Kemudian Francesco Totti dikasari di dalam kotak penalti, namun bukan penalti yang diberi sebaliknya layangan kad merah atas alasan diving (menjatuhkan badan). Itali terpaksa bermain dengan 10 pemain.
Di kala perlawanan menghampiri penghujung, Ahn Jung Hwan menanduk masuk gol kemenangan (golden goal) buat Korea dan membawa mereka mara. Itali tersingkir penuh tragis. Media Itali melabel ia sebagai rompakan terancang, dan Jung Hwan yang ketika itu bersama Perugia (kelab Serie A) dibatalkan kontrak pinjamannya.
Dua Gol Sepanyol Dibatalkan Penuh Kontroversi
Selepas Itali, giliran Sepanyol pula menjadi mangsa. Satu lagi perlawanan dengan deretan keputusan berat sebelah, dengan kemuncaknya adalah dua gol bersih Sepanyol dibatalkan.
Pertamanya jaringan Javi De Pedro yang dibatalkan kerana ofsaid, manakala gol emas Fernando Morientes pula dibatalkan kerana kononnya bola sudah keluar dari permainan. Akhirnya Sepanyol tersingkir menerusi penentuan penalti.
Jurulatih Sepanyol, Jose Antonio Camacho terpaksa menenangkan pemainnya yang meluru untuk menyerang pengadil. Ivan Helguera selepas perlawanan berkata, “Kami tewas hari ini kerana mereka memang tidak mahu kami menang.”
Carles Puyol pula berkata, “Saya tak mahu tuduh kami dirompak, tetapi satu dunia boleh tengok, dua gol kami adalah gol yang valid. Tidak ofsaid, tiada kekasaran, tidak keluar, jadi apa maksudnya?”
FIFA kemudian membuat kenyataan, pengadil adalah manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan.
Jaringan 11 Saat Hakan Sukur, Penamat Bersejarah Turki
Hakan Sukur memahat nama sebagai penjaring gol terpantas dalam sejarah Piala Dunia, apabila meledak gol seawal 11 saat buat Turki ketika aksi penentuan tempat ketiga menentang Korea Selatan.
Turki menewaskan Korea Selatan 3-2 yang sekaligus menjadi penamat bersejarah buat mereka.
Comeback Ronaldo, Prestasi Memuncak Tepat Pada Waktu
Setelah kecewa dengan kejadian misteri pada final France 1998, Ronaldo tampil di Piala Dunia 2002 dengan penuh nafsu dan dendam yang mahu dilunaskan.
Bukan hanya mencuri tumpuan dengan gaya rambut aneh yang menjadi kegilaan remaja waktu itu, tetapi prestasinya memuncak tepat pada waktu apabila menjaringkan lapan gol termasuk dua dalam aksi final menentang Jerman.

Ia membantu Brazil muncul juara buat kali kelima, dan menobatkannya sebagai penjaring terbanyak Piala Dunia 2002. Sekaligus menandakan comeback seorang phenomenon ke puncak bolasepak dunia.