HomeSukanFaisal Halim Terima Pingat Darjah Kebesaran Sultan Selangor

Faisal Halim Terima Pingat Darjah Kebesaran Sultan Selangor

Faisal Halim terima kurniaan pingat darjah kebesaran AIS daripada Sultan Selangor sempena Hari Keputeraan Baginda ke-79.

Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim dikurniakan pingat Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) sempena ulangtahun Hari Keputeraan Ke-79 Sultan Selangor, hari ini.

Ditemui pemberita selepas berakhir Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran di Istana Alam Shah, Faisal menyatakan rasa bersyukur dan terharu dengan sokongan berterusan daripada Tuanku Sultan dan menyifatkannya sebagai pembakar semangat untuk bangkit.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuanku Sultan Selangor. Saya sebenarnya tak tahu dan terkejut.

“Ketika memakaikan pingat pada saya, Tuanku juga berpesan untuk kerja keras..jangan putus asa dan teruskan. Baginda memberi semangat dan saya katakan, Insya Allah Tuanku, terima kasih Tuanku,” katanya dipetik dari BH Sukan.

Tambah Faisal lagi, darjah kebesaran yang diterima juga adalah doa daripada penyokong, keluarga, kawan-kawan serta pengurusan Selangor FC yang menjaganya dengan baik hingga ke hari ini.

Faisal Terima Takdir

“Apa yang saya ada dan dapat hari ini membuat semangat saya untuk bangkit semula mewakili Selangor itu lebih bertambah pada masa hadapan.

“Ini bukan gelaran untuk saya banggakan tetapi ini adalah untuk semangat diri saya untuk saya kembali semula. Saya ingin menjadi Faisal halim yang sebelum ini.

“Saya tertinggal agak lama tujuh ke lapan bulan, saya harap ini masa untuk saya kembali dengan pasukan serta rakyat Selangor,” katanya.

Bercakap mengenai keadaan terkininya, Faisal berkata: “Kalau tak main susah..bila dapat main senang nak ‘improve’ keadaan diri. Dari segi pergerakan tiada yang mengganggu.

“Saya terima keadaan saya, ini takdir dan saya kena kuatkan semangat mencari rezeki untuk anak, isteri dan keluarga saya,” kata Faisal.

Untuk makluman, Faisal Halim melecur tahap empat pada beberapa bahagian tubuhnya selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di luar sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya pada 5 Mei.

Tuanku Sultan Tegur PDRM Lambat Selesaikan Kes

Sebelum ini, dalam wawancara disiarkan The Star, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kekecewaan terhadap kelewatan penyelesaian kes yang disifatkan Baginda sebagai “mudah dan jelas”.

“Dengan media sosial dan teknologi moden, anda tidak boleh menyembunyikan apa apa. Beta mengikuti kes ini di Dewan Negeri Selangor dan berharap perkara ini dapat diselesaikan segera.

“Ini adalah kes yang jelas dan insiden itu telah memusnahkan kehidupan Muhammad Faisal,” kata Baginda.

Sejak insiden simbahan asid berlaku, PDRM telah mengambil keterangan seramai 23 individu dan menahan tiga suspek bagi membantu siasatan, tetapi tidak ada perkembangan positif berhubung kes berprofil tinggi itu.

Ditanya sama ada Baginda percaya ada pihak tersembunyi di sebalik kes itu, Sultan Sharafuddin menjawab “ada sesuatu (seakan-akan) mengawal dari jauh”, namun enggan menuduh mana-mana pihak.

“Dia (Faisal) seorang pemain yang baik dan Beta rasa dia seorang yang baik, tetapi Beta tidak tahu kenapa dia diserang. Polis mesti bertindak segera dalam perkara ini,” titah Baginda.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!