Skuad bolasepak negara berjaya mengelak daripada mengalami kekalahan paling mengaibkan dalam sejarah ketika bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-2 ke atas Timor Leste dalam aksi kedua Piala ASEAN Mitsubishi Electric, pada Rabu.
Malah kemenangan tipis itu sendiri bukanlah satu keputusan yang boleh dipuji atau wajar dibanggakan oleh skuad negara.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri tidak membantu skuad kendalian Pau Marti untuk tampil dengan permainan garang, sebaliknya Timor Leste dilihat lebih bertenaga dalam usaha untuk membawa pulang mata pertama mereka dalam sejarah Piala ASEAN.
Benar, mereka telah beraksi sebanyak 13 perlawanan sepanjang penyertaan dalam tiga edisi (2004, 2018, 2020) tetapi tidak pernah mengutip sebarang mata.
Lebih menyedihkan, Timor Leste pada Ahad lalu mengalami kekalahan 10-0 kepada skuad kedua Thailand dalam aksi pembukaan.
Baca juga: Tewas Kepada Laos, Skuad Kebangsaan Dibubar
Aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu sehingga minit ke-37 untuk membuka jaringan, setelah Syafiq Ahmad menyepak masuk hantaran Fergus Tierney.
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itulah gambarannya, apabila Malaysia yang disangka akan tampil lebih agresif selepas itu, sebaliknya bermain sambil lewa. Manakala peluang-peluang yang dicipta disia-siakan.
Timor Leste kendalian Simon Elissetche mendapat dua gol pantas di masa kecederaan separuh masa, kedua-duanya menerusi serangan balas pantas, dari gerakan dan penyudah yang hampir sama.
Gol pertama mereka setelah Olagar Malik menolak masuk hantaran Joao Pedro, manakala gol kedua menerusi lencongan cantik Joao Pedro sendiri untuk kedudukan 2-1 di separuh masa.
Harimau Malaya berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-70 menerusi Paolo Josue, sebelum jaringan sendiri penjaga gol pada minit ke-83 memastikan kemenangan.
Dengan mutu permainan yang ditunjukkan, jelas tugas sangat berat menanti dalam aksi seterusnya menentang Thailand.