Oleh kerana tiada wang untuk ke Phnom Penh bagi menyaksikan perlawanan Piala ASEAN Mitsubishi Electric antara Malaysia menentang Kemboja, seorang lelaki tergamak membunuh wanita yang baru dikenalinya.
Ia sekaligus menjawab motif pembunuhan seorang wanita, Nurul Asikin Lan, yang mayatnya ditemui reput di Tabuan Jaya, pada Ahad lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, suspek yang kini berada dalam tahanan reman membuat pengakuan tersebut.
“Ketika dalam soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatan itu (membunuh mangsa) dan mengambil barang kemas mangsa untuk digadai kerana dia memerlukan wang untuk perbelanjaan di ketika menyaksikan perlawanan bolasepak Malaysia lawan Kemboja,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Mancha berkata beliau yakin polis hampir berjaya menyelesaikan kes berkenaan.
“Selepas polis berjaya menahannya dan melakukan siasatan, suspek membuat pengakuan memang dia yang membunuh mangsa dan berdasarkan bukti diperoleh, polis percaya kes itu hampir selesai.
“Malah suspek juga menunjukkan lokasi mayat mangsa dibuang sehingga membawa kepada penemuan mayat wanita yang sudah reput baru-baru ini.
“Ketika pemeriksaan susulan di lokasi mayat mangsa ditemui iaitu di longkang berdekatan tempat pembuangan sampah di Tabuan Jaya, polis menemui beberapa bahan bukti baharu antaranya pakaian, gigi dan gumpalan rambut.
“Polis pergi semula ke lokasi itu semalam kerana ketika ditemui, mayat tidak berpakaian lengkap dan hasil pemeriksaan terbaharu itu, kita berjaya menemui bukti baharu,” katanya.
Pada 5 Disember lalu, polis menerima laporan kehilangan Nurul Asikin Lan, 26, selepas dia dikatakan keluar dengan seorang lelaki yang baru dikenali.
Mancha berkata, berikutan keadaan mayat yang sudah reput, keluarga wanita terbabit juga tidak dapat mengecamnya.