Ketua jurulatih Sri Pahang Fandi Ahmad sifatkan pengadil aksi menentang JDT sebagai berat sebelah dan tidak kompeten.
Fandi Ahmad tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap mutu pengadilan ketika pasukannya Sri Pahang tewas 1-3 kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim.
Menurutnya mutu pengadilan Ahmad Zuhaidi Dzulkifli jelas berat sebelah dengan banyak keputusan yang boleh dipertikaikan.
Ini termasuklah tiada satupun layangan kad kuning dikenakan kepada pemain JDT meskipun mereka tampil dengan permainan kasar dan melakukan terjahan-terjahan keras ke atas pemainnya, terutama Kpah Sherman.
Baca juga: Padang Pun Kami Tiada Untuk Berlatih – Fandi
Dia juga pelik dengan keputusan pengadil memberikan sepakan penalti di masa kecederaan kepada JDT selepas Arif Aiman jatuh dengan melanggar pertahanan Sri Pahang.
“Yang paling saya tak senang sekali, cakap terus terang adalah mutu pengadilan. Main bola sudah macam ragbi, Kpah (Sherman) kena terjah beberapa kali pada babak pertama namun tidak dikenakan kad kuning bahkan tidak diberikan sepakan percuma, tapi kami pula dilayangkan tiga kad kuning.
“Kami tahu mereka pasukan yang bagus, tapi haruslah berlaku adil. Macam mana diberikan penalti bila Arif Aiman (Hanapi) sudah terlepas bola dan pemain kami ‘tackle’ bersih dan dia (Arif Aiman) tercampak. Permainan diteruskan tiga minit dan kemudian JDT dihadiahkan penalti. Memang pelik.
“Bagi bola sepak, ini kurang baik. Kalah menang adat permainan dan kami boleh terima kekalahan jika bertanding secara adil dan sudah memberikan segala-galanya atas padang, jadi saya tak boleh terima mutu pengadilan seperti ini,” katanya.
Tambah jurulatih kelahiran Singapura itu, cara pengendalian VAR dalam Liga Malaysia boleh dipertikaikan walaupun ia dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan luas dalam bolasepak.
“Sudah pasti VAR tak baik, kami tak tahu apa yang mereka bincangkan. Kalau di tempat lain (liga luar negara), mereka tunjukkan di skrin, bukan hanya tayang video di dalam bilik VAR sahaja dan kami juga tak berpeluang nak tengok,” katanya.