HomeSukanPenyokong TFC Minta Jasa Baik TMJ, JDT

Penyokong TFC Minta Jasa Baik TMJ, JDT

Penyokong Terengganu FC tidak rela dua ayam tambatan mereka, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid sekadar menjadi penonton ketika perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada 17 Januari dan 1 Februari depan.

Kedua-dua pemain itu dipinjamkan dari JDT dan tidak akan dapat diturunkan dalam aksi separuh akhir kerana terikat dengan perjanjian pinjaman tidak boleh diturunkan menentang ‘parent club’ – dalam kata lain, gentlemen’s agreement.

Berita Berkaitan: Terengganu Hilang Khidmat Safawi, Akhyar Jumpa JDT

Begitupun Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin meminta jasa baik Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan JDT agar membuka sekatan dan membenarkan dua pemain itu beraksi.

“Kami sedar perjanjian budiman (gentlement’s agreement) kedua-dua pihak pengurusan dengan tidak membenarkan dua pemain itu beraksi sekiranya bertembung dengan kelab gergasi itu kerana berstatus pemain pinjaman.

“Namun harapan peminat setia agar sekatan itu dapat dibuka sekaligus membenarkan dua pemain utama skuad Penyu itu bermain pada aksi separuh akhir nanti.

“Selain kami mahu menyaksikan satu perlawanan yang menarik antara juara dan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu, kehadiran dua pemain itu dalam pasukan mampu menyemarakkan lagi semangat peminat setia untuk menyaksikan perlawanan yang bagaikan ulangan Piala Malaysia musim lalu itu.

“Kami peminat setia skuad Terengganu memohon jasa baik pemilik pasukan JDT yang juga pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dapat membenarkan dua pemain itu beraksi sebagaimana seorang lagi pemain pinjaman, Azam Azmi.

“Pada masa sama kami juga mengharapkan pihak pengurusan TFC membuat permohonan secara rasmi kepada pihak pengurusan JDT agar sekatan itu dapat dibuka,” ujar Mohd Isa kepada kepada BH Sukan.

Safawi dan Akhyar telah menyerlah sebagai tonggak yang memacu kemaraan Terengganu FC musim ini, dan ketiadaan mereka nanti pastinya cukup dirasai walaupun Badrul Afzan Razali pastinya mempunyai pelan tersendiri untuk mengisi kekosongan dua pemain itu.

Sebelum ini, Safawi berkata beliau menerima dengan terbuka sekiranya aksi suku akhir menentang Negeri Sembilan adalah penampilan terakhirnya dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Saya hormati kontrak yang dimeterai antara kedua-dua pengurusan yang tidak membenarkan saya bermain apabila berdepan JDT kerana status sebagai pemain pinjaman.

“Tetapi saya percaya dengan rakan sepasukan mereka mampu lakukan yang terbaik pada separuh akhir nanti, anda tidak tahu kesudahannya, jika ada rezeki mana tahu TFC layak ke final.

“Namun jika tersekat di separuh akhir, saya pasrah dengan ketentuan, dan terima dengan hati terbuka bahawa perlawanan menentang Negeri Sembilan adalah penampilan terakhir saya bersama TFC dalam Piala Malaysia musim ini,” kata Safawi.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!