HomeSukanPiala Malaysia: TFC Hilang Khidmat Safawi, Akhyar Jumpa JDT

Piala Malaysia: TFC Hilang Khidmat Safawi, Akhyar Jumpa JDT

Perlawanan berprofil tinggi antara TFC dan JDT hilang seri apabila dua tonggak utama, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid tidak dapat diturunkan.

Pertembungan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Takzim (JDT) di separuh akhir Piala Malaysia boleh dilabel sebagai perlawanan berprofil tinggi.

Selepas berdepan dengan dua lawan yang tidaklah terlalu kuat di pusingan kedua (KL Rovers) dan suku akhir (KL City); Terengganu disifatkan sebagai cabaran sebenar buat JDT dalam usaha mereka memburu tiket ke final buat kali kelima berturut-turut.

Bagaimanapun, perlawanan JDT-Terengganu akan kehilangan sedikit seri, apabila Terengganu tidak dapat mempertaruhkan skuad terbaik mereka.

Baca juga: Import Terengganu Bunuh Diri Kerana Tunggakan Gaji

Skuad kendalian Badrul Afzan Razali akan kehilangan khidmat dua tonggak utama yang memacu langkahan ke separuh akhir – kapten pasukan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Dua pemain itu yang dipinjamkan oleh JDT, terikat dengan perjanjian pinjaman tidak boleh diturunkan menentang ‘parent club’ – dalam kata lain, gentlemen’s agreement.

Ia jelas satu tamparan besar buat kem TFC, serta dua pemain itu sendiri – apatah lagi masing-masing menyerlah di dua pusingan terdahulu, namun akhirnya sekadar menjadi pemerhati pada perlawanan yang begitu besar.

Malah lebih teruk, jika Terengganu gagal meneruskan kemaraan ke final, maka perlawanan suku akhir tempoh hari menentang Negeri Sembilan, adalah penampilan Piala Malaysia terakhir mereka bersama Terengganu.

“Saya hormati kontrak yang dimeterai antara kedua-dua pengurusan yang tidak membenarkan saya bermain apabila berdepan JDT kerana status sebagai pemain pinjaman.

“Tetapi saya percaya dengan rakan sepasukan mereka mampu lakukan yang terbaik pada separuh akhir nanti, anda tidak tahu kesudahannya, jika ada rezeki mana tahu TFC layak ke final.

“Namun jika tersekat di separuh akhir, saya pasrah dengan ketentuan, dan terima dengan hati terbuka bahawa perlawanan menentang Negeri Sembilan adalah penampilan terakhir saya bersama TFC dalam Piala Malaysia musim ini,” kata Safawi.

Perlawanan separuh akhir antara kedua-dua pasukan dijadual berlangsung pada 17 Januari 2025 (Stadium Sultan Mizan) dan 1 Februari (Stadium Sultan Ibrahim).

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!