Kekalahan JDT kepada Shandong Taishan dalam saingan Asia Champions League Elite (ACLE) nyata terlalu sukar diterima Natxo Insa.
JDT tewas 0-1 menerusi jaringan tunggal Zeca sekaligus kekalahan kedua mereka dalam ACLE 2024. Bagi Natxo yang juga kapten pasukan, keputusan mungkin berbeza jika perlawanan berlangsung lebih adil.
Ditanya perasaannya setelah JDT tewas dalam perlawanan yang cukup menarik, Natxo berkata:
“Menarik untuk siapa, untuk penyokong? Untuk pengadil? Untuk kami? Untuk siapa?
“Kami dilayangkan beberapa kad kuning dalam tempoh 30 minit pertama, ia bukan sesuatu yang normal. Kami menentang pasukan dibarisi 13,14 pemain, itu adalah perbezaan dalam perlawanan ini,” tegas Natxo selepas perlawanan.
Baca juga: Sejarah Lengkap Call-Up Harimau Malaya Natxo Insa
Natxo turut berpendapat, JDT sepatutnya diberikan penalti setelah Arif Aiman dikasari pada minit ke-32. Namun pengadil tidak mengendahkannya.
Kekalahan menyaksikan JDT menghuni tangga kelima dengan tujuh mata.
Kawasaki Frontale yang menewaskan Buriram United melonjak ke tangga ketiga dengan sembilan mata, manakala Vissel Kobe mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu menerusi kemenangan 3-2 ke atas Central Coast Mariners.
Aksi seterusnya JDT akan berdepan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim pada 3 Disember. Saingan ACLE kemudiannya akan berehat selama dua bulan sebelum bersambung semula pada bulan Februari.
“Kami perlu fokus buat persiapan untuk perlawanan seterusnya, tetapi kadangkala sukar untuk bermain apabila terjadi situasi seperti ini,” tambah Natxo lagi.