HomeSukanAFL Mahu Bentuk Liga Divisyen Dua Yang Berkualiti

AFL Mahu Bentuk Liga Divisyen Dua Yang Berkualiti

Boss Liga Bolasepak Amatur (AFL) Datuk Wira Yusoff Mahadi, menyatakan badan itu mahu memastikan saingan Liga A1 Semi-pro hanya dibarisi pasukan berkualiti.

Menurutnya, AFL kini di dalam proses mengesahkan penyertaan pasukan bagi saingan Liga Divisyen Dua bolasepak tanah air itu yang dijadual bermula pertengahan Julai nanti.

Dengan keutamaan diberi kepada pasukan-pasukan Liga A1 sedia ada serta yang layak dari Liga A2 musim lepas. Beliau bagaimanapun tidak menafikan daripada senarai tersebut, beberapa pasukan dilihat ‘tidak sihat’ apabila dikaitkan dengan isu tunggakan gaji.

“AFL turut mengambil pendekatan untuk mengambil kira permohonan pasukan-pasukan baharu yang dilihat mempunyai kedudukan kewangan yang lebih stabil khususnya pasukan-pasukan yang telah berada di di dalam piramid Liga Malaysia musim terdahulu (Piala MFL, Liga A2 & Liga A3).

“Ada juga permohonan baharu dari pasukan luar daripada linkungan tersebut yang dilihat mampu memenuhi kriteria ditetapkan yang turut dipertimbangkan.

“AFL berhasrat membentuk Liga Divisyen 2 yang berkualiti dalam mengisi kekosongan setelah Liga Premier dan Piala MFL tidak lagi dianjurkan.

“Buat masa ini kita mahu mengenal pasti terlebih dahulu pasukan-pasukan yang mampu memenuhi kriteria serta keperluan untuk berada di dalam kelompok tersebut.

“Sasaran AFL adalah untuk mendapatkan 14 pasukan terbaik yang dilihat berpotensi dan bersedia untuk dinaikkan ke Liga Super Musim 2026-2027” , katanya selepas merasmikan taklimat persediaan pasukan AFL musim 2025-2026 di Wisma FAM, Petaling Jaya.

Untuk rekod, dalam saingan Liga A1 musim lalu, sekurang-kurangnya enam pasukan terpalit dengan krisis tunggakan gaji yang teruk termasuklah PT Athletic, KL Rovers, PIB Shah Alam, Machan FC dan Harini FT.

Dalam pada itu, Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM menyatakan rasa teruja dan tidak menyangka ada pasukan Semi-Pro/Amatur dari luar negara yang berminat untuk menyertai Liga anjuran AFL.

“Saya tak nafikan bahawa kita ada menerima permohonan daripada pasukan amatur dari luar negara. Salah satunya daripada Korea Selatan. Kita sedang meneliti dan menilai perkara ini dan jika mereka disahkan bermain dengan liga kita, mereka perlu berpengkalan di Malaysia,” ujarnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!