Malaysia perlu menggunakan khidmat pemain naturalisasi untuk sekurang-kurangnya lima tahun akan datang, sebelum boleh mula bergantung kepada lebih ramai pemain tempatan.
Demikian pandangan disuarakan bekas pemain bolasepak kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail.
Menurutnya situasi ini terjadi kerana kurangnya pemain tempatan berkualiti untuk bermain di pentas antarabangsa sambil menyatakan hanya Arif Aiman sahaja pemain yang menepati standard antarabangsa.
Tegas Jamal, walaupun Akademi Mokthar Dahari (AMD) dan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) adalah platform penting untuk melahirkan bintang masa depan, tetapi mereka tidak menyediakan peluang kompetitif untuk pemain bersaing di pentas antarabangsa.
“Buat masa ini, laluan program pembangunan kita tidak menghasilkan secukupnya pemain yang sedia bermain di pentas antarabangsa. Bukan sahaja AMD, akademi lain juga perlu hasilkan keputusan, liga remaja perlu diperkasa.
“Lebih perlawanan untuk pemain B-15, B-16 dan B-17 adalah sangat perlu bagi mengembangkan bakat yang boleh menggantikan pemain naturalisasi di masa depan.
“Kalau tengok Piala Dunia B-17 (kelayakan) berlangsung secara tahunan, Asia menawarkan banyak slot. Jadi kita perlu mengambil serius pertandingan-pertandingan seperti ini, kalau sambil lewa tidak akan membantu,” ujar beliau kepada NST Sports.
Justeru beliau mengulangi bahawa kebergantungan kepada pemain naturalisasi perlu bersifat sementara bagi meningkatkan tahap kompetitif.
Baca Juga: Revolusi Usah Fokus Pada Naturalisasi Sahaja
“Jika kita tidak all-out dalam pembangunan pemain muda, selepas lima tahun pun kita akan berdepan masalah sama. Untuk Harimau Malaya kembali mengaum, kita perlu ada solusi jangka pendek dan sediakan jalan untuk masa depan.
“Bersaing dengan negara seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia yang turut menggunakan pemain naturalisasi, sudah tentu kita tidak boleh ketinggalan. Jadi sebab itu, untuk lima tahun, kita kena guna naturalisasi dan dalam masa sama memantapkan program pembangunan.”
Sebelum ini, Otai Station menyiarkan pandangan seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Dato’ Richard Scully yang berharap revolusi Harimau Malaya tidak semata-mata fokus kepada naturalisasi memandangkan negara tidak ketandusan pemain-pemain berbakat yang perlu diberi perhatian dan peluang.
Beliau menjadikan pemain-pemain seperti Gabriel Nistelrooy (JDT II), Abdul Rahman Daud (Selangor) dan Afeeq Iqmal Rosli (Kedah) yang sedang memimpin carta penjaring Piala MFL sebagai contoh.
“Sudah tentu saya gembira dengan usaha serta revolusi yang bertujuan meningkatkan standard bolasepak Malaysia ini, tetapi saya tidak teruja kerana kita belum nampak sebarang kemajuan.
“Beberapa nama telah disebut untuk naturalisasi, tetapi biarlah ia kekal sebagai solusi jangka pendek. Kerana kita ada pemain-pemain muda sedang menyerlah di Piala MFL yang wajar dipertimbangkan sebagai laluan mereka ke skuad kebangsaan.
“Adalah penting untuk mengenalpasti dan meningkatkan bakat pemain tempatan ini, membantu mereka mencapai potensi penuh dan memastikan mereka dapat menyumbang kepada skuad negara,” ujar beliau.