HomeNostalgiaAnnuar Musa : Pemacu Kelantan ke Puncak Kemasyhuran

Annuar Musa : Pemacu Kelantan ke Puncak Kemasyhuran

Annuar Musa sentiasa dikenang sebagai bapa pembangunan bolasepak Kelantan, beliau menjulang skuad pantai timur itu sebagai kuasa besar bolasepak tanah air ketika memimpin KAFA kira-kira satu dekad.

Baru-baru ini beberapa bekas tonggak The Red Warriors 2012, telah berkongsi pelbagai kenangan pahit manis diharungi tahun bersejarah bolasepak Kelantan itu yang diakhiri dengan kejayaan menjulang treble.

Ia adalah kemuncak kemasyhuran bolasepak Kelantan di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dari 2008-2017.

Zaman kegemilangan TRW sudah lama berlalu, tetapi kejayaan TRW merangkul treble masih dan akan selamanya diperkatakan.

Kerana ia bukan sekadar kebanggaan, tetapi satu fenomena dan 1001 momen indah rakyat Kelantan yang diukir atas nama bolasepak.

TRW 2012

Bolasepak Kelantan, tidak pernah ada sebarang pencapaian megah sehingga sebelum kehadiran Annuar Musa, sentiasa dianggap kerdil dan tidak dipandang tinggi.

Apatah lagi beberapa musim sebelumnya Kelantan melalui zaman kegelapan mencipta sejarah sebagai pasukan negeri pertama bermain di Liga FAM.

Beliau hadir merubah sepenuhnya landskap, memacu Kelantan mendakap kesemua trofi domestik, membawa mereka ke pentas Asia, dan menukar reputasi TRW sebagai gergasi bolasepak tanah air.

Bagaimana Bolasepak Kelantan Berubah di Bawah Annuar Musa

  • Kelantan layak ke Liga Super buat pertama kali setelah menamatkan saingan Liga Premier 2008 di tangga ketiga. Kelantan layak menggantikan PDRM FA yang menarik diri sebelum kemudiannya membuat u-turn.
  • Annuar Musa memperkasa persiapan musim pertama TRW di Liga Super dengan membawa masuk pemain-pemain seperti Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohd, Khalid Jamlus, Nazrulerwan Makmor dan ramai lagi.
  • Kelantan menduduki tangga ke-6 Liga Super, layak ke final Piala FA buat pertama kali, dan muncul naib juara Piala Malaysia.
  • Tahun berikutnya pada 2010, Kelantan muncul naib juara Liga Super dan Juara Piala Malaysia buat pertama kali.
  • Pada 2011, Kelantan bergelar juara Liga Super dan naib juara Piala FA.
  • Kejayaan paling manis pada 2012, detik tercipta sejarah gemilang bolasepak Kelantan apabila menjulang treble Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
  • TRW menjadi pasukan ketiga selepas Selangor dan Kedah, untuk melakar pencapaian hebat itu – terima kasih kepada masterclass Bojan Hodak.
  • Bojan dibawa masuk Annuar Musa bagi menggantikan Peter Butler yang direhatkan susulan menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pengurusan berhubung campur tangan dalam pengambilan pemain import.
Annuar Musa

Mengenang Kegemilangan TRW 2012

Kelantan memulakan musim 2012 dengan kegagalan mempertahankan trofi Piala Sumbangsih setelah tewas kepada Negeri Sembilan.

Mereka kemudiannya mengharungi tujuh perlawanan tanpa kalah sebelum rekod itu lebur pada perlawanan kelapan menentang Selangor di Bukit Jalil.

Pada ketika inilah berlaku ‘perang dingin’ antara Peter Butler dan KAFA sehingga menyebabkan pengendali itu meninggalkan pasukan selepas hanya tiga bulan kembali membimbing mereka.

Dalam temuramah selepas perlawanan, Peter Butler memberitahu wartawan bahawa dia kecewa tiada kuasa penuh sebagai ketua jurulatih apabila sekadar menjadi pak turut dan mengikut sahaja telunjuk KAFA.

Butler menyatakan dia langsung tidak tahu siapa pemain yang keluar dan dibawa masuk.

Ini termasuklah pembatalan pendaftaran Mohamed Ghaddar dan Dennis Antwi, serta kemasukan Nwoha Onyekachi. Menurutnya semua keputusan dibuat Annuar Musa.

Baca juga: Tragedi Pemain Terengganu Bunuh Diri Kerana Masalah Gaji

Kenyataan tersebut mendapat perhatian Annuar Musa yang menganggap Butler sebagai tidak professional dan perlawanan menentang Selangor itu menjadi perlawanan terakhir dikendalikannya.

Pada mulanya Butler digantung selama tiga minggu namun pada 29 Februari KAFA membuat kenyataan rasmi khidmatnya sudah ditamatkan berkuatkuasa serta-merta.

Walaupun terkejut kontraknya ditamatkan, Peter Butler akur dengan keputusan itu.

Pertaruh Kepercayaan Kepada Bojan Hodak

Bojan Hodak yang pada mulanya berperanan sebagai CEO Akademi Al-Hamra Red Warriors dilantik sebagai pengganti.

Perlawanan pertamanya adalah kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan.

Dalam 18 perlawanan liga diharungi di bawah kendalian Bojan Hodak, Kelantan tewas cuma sekali kepada Felda United. Mereka berjaya mempertahankan kejuaraan dengan 60 mata, 10 mata mengatasi Lions XII.

Kelantan sebelum itu memenangi Piala FA pada bulan Mei dengan menewaskan Sime Darby menerusi jaringan tunggal Ghaddar dalam aksi final.

Tanggal 20 Oktober 2012, Kelantan mengakhiri musim dengan menjulang Piala Malaysia menerusi kemenangan 3-2 ke atas ATM di hadapan 80,000 penyokong di Stadium Shah Alam.

Norshahrul Idlan meletakkan Kelantan di depan pada babak pertama, sebelum skuad B.Sathianathan menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi Rezal Zambery.

Ia hanya bertahan seminit apabila Norshahrul kembali meletakkan Kelantan 2-1 di depan setelah percubaannya gagal diselamatkan Farizal Harun.

Kedudukan terikat 2-2 pada minit ke-64 setelah Marlon Alex James berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang Kelantan.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat 90 minit menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Indra Putra muncul wira apabila rembatan cantiknya melepasi jangkauan Farizal Harun pada minit ke-96 sekaligus mengesahkan kemenangan buat Kelantan.

Selepas kejayaan bersejarah itu, Kelantan hanya memenangi satu trofi iaitu Piala FA pada 2013 dengan menundukkan JDT dalam aksi final.

Annuar Musa Bertuah Dikelilingi Individu Hebat

Annuar Musa boleh dikatakan bertuah, kerana dikelilingi individu-individu berjiwa bola dan sentiasa sedia berjuang bersama beliau.

Nama-nama yang dekat di hati penyokong ketika itu termasuklah Dato’ Seri Rosmadi Ismail (Naib Presiden), Hj Azman Ibrahim (pengurus pasukan) dan Wan Badri Wan Omar (pegawai media/penolong pengurus).

Annuar Musa membuat keputusan meninggalkan KAFA pada 2017 susulan masalah kewangan yang cukup kritikal.

Di sebalik meninggalkan pasukan itu dengan pelbagai masalah, sumbangan dan jasanya di dalam mengtransformasikan bolasepak negeri itu tetap disanjung dan dikenang ramai.

Belum ada pemimpin lain berjaya melakukan apa yang dilakukan Annuar Musa untuk bolasepak Kelantan.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!