Musim 2024/25 telah menjadi musim yang cukup gemilang buat pemain sayap sensasi, Arif Aiman Hanapi. Tonggak utama Johor Darul Takzim dan Harimau Malaya itu terbang tinggi dengan pelbagai pencapaian sama ada secara individu mahupun berpasukan, lantas mengukuhkan reputasi hebatnya sebagai anak emas bolasepak tanah air.
Pemain berusia 23 tahun itu tampil dengan prestasi mengagumkan di pentas Asian Champions League Elite dengan lima gol dalam lapan penampilan dan sedang mendahului carta penjaring terbanyak (tempatan) JDT.
Dia juga satu-satunya anak melayu dalam kelompok 15 teratas penjaring terbanyak Liga Super musim ini (sehingga saat artikel ini ditulis).
Sentuhan jaringan dan kelincahannya mencipta peluang turut membantu skuad Harimau Selatan merangkul trofi Piala FA, Liga Super buat kali ke-11 serta layak ke final Piala Malaysia.
Baca Juga: TMJ Banding Perjalanan Karier Arif Aiman Dengan Safawi, Luqman
Kini, Arif Aiman berpeluang melebarkan rekod hebatnya di Liga Malaysia, sebagai pemain pertama untuk dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak kebangsaan (ABK) sebanyak empat kali berturut-turut.
Sejak memenangi gelaran berprestij itu buat pertama kali pada ABK 2021 di usia 19 tahun, Arif Aiman mempertahankannya pada 2022 dan 2023 sekaligus mencatat hatrik MVP. Ia lantas menyamai rekod dipegang bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha yang memenanginya tiga kali berturut-turut ketika bersama Kelantan pada 2010, 2011 dan 2012.
Tersenarai dalam tiga teratas (top 3) bagi kategori Pemain Tengah Terbaik ABK 24/25 yang akan berlangsung bulan ini bersama-sama Safawi Rasid (TFC) dan Stuart Wilkin (Sabah), Arif Aiman dinilai sebagai calon utama mengekalkan anugerah itu dan tidak mungkin dapat dicabar mana-mana pemain dari kategori lain daripada mempertahankan gelaran MVP.
Hanya keputusan pelik juri dan keajaiban sahaja yang akan menghalang pemain berasal dari Pahang itu daripada mencipta rekod baru dalam arena bolasepak tempatan.
Senarai MVP sejak 2006/07:
2006/07: Shukor Adan (Selangor) dan Marlon Alex James (Kedah)
2007/08: Helmi Eliza dan Marlon Alex James (Kedah)
2009: Indra Putra Mahyuddin (Kelantan)
2010: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
2011: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
2012: Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan)
2013: Badhri Radzi (Kelantan)
2014: Khairul Azhan Khalid (Pahang)
2015: Safiq Rahim (JDT)
2016: Hazwan Bakri (Selangor)
2017: Baddrol Bakhtiar (Kedah)
2018: Safawi Rasid (JDT)
2019: Safawi Rasid (JDT)
2020: Dibatalkan (Covid-19)
2021: Arif Aiman (JDT)
2022: Arif Aiman (JDT)
2023: Arif Aiman (JDT)