HomeSukan"Arsenal Menang Cara Tipu, Tidak Adil" - Lopetegui

“Arsenal Menang Cara Tipu, Tidak Adil” – Lopetegui

Pengendali West Ham, Julen Lopetegui tidak dapat menyembunyikan kekecewaan susulan kekalahan 2-5 pasukannya kepada Arsenal, awal pagi Ahad.

Sambil menyifatkan ia sebagai kekalahan tidak wajar, Lopetegui berang dengan cara tidak adil the Gunners menjaringkan gol terutama menerusi sepakan sudut, dan menyifatkan skuad Mikel Arteta tidak layak untuk mendapat lima gol.

Rekod tercipta di Arena London apabila kesemua tujuh gol dalam perlawanan itu dijaringkan di separuh masa pertama. Tetapi Lopetegui jelas cukup terganggu dengan gol pembukaan Arsenal menerusi Gabriel Magalhaes pada minit ke-10.

“Kami layak untuk mendapat dua gol di separuh masa tetapi Arsenal tidak layak untuk mendapat lima.

“Ada seorang pemain menghimpit belakang [Lucas] Paquetá dengan niat supaya dia tidak boleh melompat. Paqueta yang berada di tiang depan, telah dihalang oleh Jurriën Timber. Tetapi tiada foul, permainan diteruskan. Peraturan sepatutnya sama untuk semua,” kata Lopetegui.

Set-piece Arsenal memukau

Arsenal diketahui cukup berbahaya dalam situasi set-piece sejak kemasukan pakar taktikal Nicolas Jover, di mana mereka telah menjaringkan 20 gol sejak permulaan musim lepas. Namun Lopetegui berkata mereka sebenarnya sudah bersedia berdepan taktik tersebut.

“Gol pertama adalah dari set-piece yang kami sudah bersedia, dan pada pandangan saya, ia adalah kekasaran yang sangat jelas.

“Kami tidak bernasib baik dengan keputusan hari ini. Kami sudah bertanya kepada pengadil sebelum perlawanan, mengenai sekatan ini, sebagai jurulatih kami perlu tahu hadnya.”

Selepas ketinggalan 0-4, West Ham cuba bangkit dengan dua gol pantas menerusi Aaron Wan Bissaka dan Emerson Palmieri tetapi gol sepakan penalti Bukayo Saka memadam kebangkitan mereka.

Penalti diberikan selepas penjaga gol Lukasz Fabianski dilihat mengasari Bukayo Saka secara sengaja.

“Penalti itu membunuh perlawanan. Anda bandingkan sentuhan pada gol pertama dengan sekatan ke atas Paquetá… Tetapi ini bukan alasan kerana kami boleh dan pasti mampu bermain dengan lebih baik.”

Baca juga: Arteta Buat Silap Dalam Hal Ethan Nwaneri

Bagi Arteta pula : “Ia adalah 30 minit yang luar biasa, bagaimana pasukan benar-benar mahukan kemenangan itu, keazaman, dan kualiti yang kami tunjukkan untuk menjaringkan tiga gol.”

“Kami mencipta gol yang hebat dalam pelbagai cara dan kemudian kami menjaringkan gol keempat juga dengan cara yang menakjubkan.”

Arteta juga memuji sumbangan Bukayo Saka: “Dia sangat konsisten dalam menjaringkan gol, membantu, dan sentiasa tersedia untuk kami, jadi, sangat bagus.”

Kemenangan ini melengkapkan minggu cemerlang bagi Arsenal yang bangkit mencatat tiga kemenangan berturut-turut setelah kekalahan kepada Inter Milan.

Foto kredit: independent.co.uk

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!