HomeSukanArteta Yakin Arsenal Sudah Kembali, Boleh Pintas Liverpool

Arteta Yakin Arsenal Sudah Kembali, Boleh Pintas Liverpool

Mikel Arteta mengingatkan Liverpool betapa Arsenal sudah kembali dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, setelah bangkit membenam jiran London, Tottenham Hotspurs 2-1 di Emirates.

Kemenangan menyaksikan Arsenal mengukuhkan cengkaman di tangga kedua dengan jurang mengecil kepada empat mata. Ini dibantu kegagalan Liverpool untuk meraih mata penuh dalam dua aksi berturut-turut ketika menentang Manchester United dan Nottingham Forest.

Walaupun telah beraksi lebih satu perlawanan berbanding Liverpool, Arteta yakin pasukannya ada rencah diperlukan untuk memintas skuad Arne Slot pada waktu yang tepat.

“Kami pencabar kejuaraan, perjalanan masih jauh (untuk katakan kami sudah boleh lupakan EPL). Anda boleh lihat betapa sukar pertandingan ini untuk semua pasukan, siapa pun boleh cicirkan mata,” kata pengurus dari Sepanyol itu.

Tewaskan Spurs adalah kemenangan pertama Arsenal dalam empat perlawanan semua pertandingan. Selepas seri menentang Brighton dalam aksi EPL, pasukan yang dihimpit masalah kecederaan kritikal itu kecundang kepada Newcastle United dalam Carabao Cup dan kemudian tersingkir menerusi penalti kepada Manchester United dalam Piala FA.

Baca Juga: Tak Pernah Jumpa Penalti Pelik Seperti Ini Dalam Karier

Ia sekaligus membuatkan ramai menyimpulkan bahawa musim The Gunners sudahpun berakhir dan perlu menunggu lagi untuk menoktahkan penantian lebih dua dekad untuk menjulang EPL.

“Kami cukup sensasi. Ia adalah ujian besar selepas dua perlawanan dan tidak mendapat apa-apa. Kami tampil cukup luar biasa dalam aksi menentang United, tetapi berakhir dengan tewas.

“Ia adalah bagaimana mereka bertindakbalas kepada situasi. Pemain-pemain mahu berikan lebih lagi, mereka mahu diuji dan dicabar, mereka mahu buktikannya atas padang. Dan tewaskan Spurs adalah contoh terbaik, kami bermain selepas 72 jam aksi 120 minit pada Ahad.

“Untuk pemain-pemain ini, ini menguji atitud mereka, semangat dan kemahuan mereka. Dari minit pertama, kami memang berhak memenangi perlawanan ini,” ujar Arteta lagi.

Dalam aksi tersebut, Arsenal ketinggalan kepada jaringan Son Ming Heun pada minit ke-25 namun mengikat kedudukan menerusi jaringan sendiri Dominic Solanke pada minit ke-40, sebelum Leandro Trossard menjaringkan gol kemenangan empat minit kemudian.

Bagi Declan Rice, Arsenal sepatutnya menang dengan jaringan yang lebih besar berdasarkan kepada deretan peluang yang dicipta.

“Dari minit pertama, separuh masa pertama adalah dominasi penuh Arsenal. Kami menunjukkan keghairahan, keinginan, memberikan tekanan, kamu boleh rasa kehangatan sebenar aksi derby. Mungkin, kami tidak bernasib baik untuk menjaringkan 10 gol, itulah perasaannya.

“Liverpool boleh dikejar, asalkan kami gunakan setiap peluang. Setiap kali Liverpool cicirkan mata, kami tidak pernah mengambil kesempatan. Ia adalah satu tamparan buat kami. Jadi apabila berjaya rapatkan jurang, sudah tentu ini adalah malam penuh makna,” kata Rice.

Rujukan : MalayMail Sports

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!