HomePanoramaBanjir di Kelantan: Mydin Permudahkan Urusan Khairul Aming

Banjir di Kelantan: Mydin Permudahkan Urusan Khairul Aming

Mydin membenarkan Khairul Aming mengambil seberapa banyak barang tanpa perlu membayar dalam usaha membantu mangsa banjir di Kelantan.

Kuala Lumpur: Pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) mempermudahkan urusan usahawan popular, Khairul Aming untuk membantu mangsa banjir di Kelantan.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin menyatakan Khairul Aming boleh mengambil sahaja seberapa banyak stok yang diperlukan di premis miliknya untuk disalurkan kepada mangsa banjir, tanpa menjelaskan apa-apa bayaran sehingga bencana banjir di Kelantan pulih.

Baca juga: Kenali Eda Ezrin, penyanyi dikir barat popular dari Kelantan

Katanya, beliau memberi kepercayaan penuh kepada Khairul Aming dalam usaha membantu mereka yang memerlukan terutama di kawasan yang dikunjungi pempengaruh itu untuk tujuan agihan dan penyaluran bantuan.

“Ambil seberapa banyak awak nak dan tak perlu hantar budak atau kad kredit atau apa-apa.. cuma beritahu had kredit yang nak RM20,000, RM50,000 atau RM100,000 ke.

“Lepas habis banjir tu awak bayar, tiada masalah. Kita percaya Khairul Aming,” katanya dalam satu video yang dikongsikan di laman sosial.

Ameer turut memberitahu Mydin akan memberikan 5,000 lagi barang sebagai tambahan kepada Khairul Aming dalam usaha membantu mangsa banjir. Selain itu beliau juga memberi sokongan supaya usahawan itu meneruskan usaha murni itu dengan sebaiknya.

Terdahulu media melaporkan situasi banjir yang semakin kritikal melanda negeri Kelantan sehingga mencecah hampir 100,000 mangsa, turut mendapat perhatian pempengaruh media sosial dan beberapa usahawan tempatan termasuk Khairul Aming, yang turun padang membantu mangsa banjir.

Khairul Amin Kamarulzaman menerusi posting di Instagram miliknya memaklumkan sebaik tiba di Kelantan pada 30 November lalu, dalam tempoh dua jam beliau berjaya kumpul bantuan untuk 2,000 mangsa banjir di Pasir Mas.

Berdasarkan info rasmi dari portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 288 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri Kelantan, dengan menempatkan lebih 90,000 mangsa.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!