HomeSukan"Kami Juga Pernah Gayat," - Arteta Ada Nasihat Buat Liverpool

“Kami Juga Pernah Gayat,” – Arteta Ada Nasihat Buat Liverpool

Mikel Arteta kagum dengan prestasi luar biasa Liverpool setakat ini, tetapi mengingatkan seteru mereka itu agar tidak terbuai.

Susulan kemenangan ke atas Manchester City, Liverpool kini melebarkan kelebihan di tangga teratas kepada sembilan mata mengatasi Arsenal dan Chelsea. Manakala City pula terkeluar dari top 4 dengan jurang 11 mata di belakang Liverpool.

Ia adalah prestasi terburuk City di bawah Pep Guardiola, tidak menang dalam tujuh perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, tewas 6 kali.

Bagi Arteta, kelebihan sembilan mata milik Liverpool, meskipun besar tetapi sesuatu yang sukar untuk dikekalkan. Ini mengambil kira Arsenal sendiri pernah ‘terciduk’ selepas berada pada kedudukan cukup selesa dalam dua musim terakhir.

Baca juga: Arsenal Dikecam Menang Cara Tidak Adil

Tahun lalu, Arsenal mencipta rekod sebagai pasukan paling lama mendahului liga (248 hari) dan mempunyai kelebihan lapan mata ke atas City, tetapi tetap gagal menamatkan musim selaku juara.

“Kami pernah berada dalam situasi sama, berkelebihan besar, 8 mata, 11 mata. Pada ketika kami berasa kami sudah begitu hampir, tiba-tiba ia hilang.

“Apa yang Liverpool lakukan adalah sangat menakjubkan, sudah tentu mereka adalah pilihan, segalanya sedang memihak mereka. Dengan prestasi, konsistensi, karakter semua cukup sempurna, mereka sedang dalam laluan tepat tetapi untuk konsisten selama 10 bulan adalah sangat sukar.

“Ia boleh berubah disebabkan oleh masalah kecederaan, atau sebab-sebab lain. Ia boleh berlaku bila-bila masa, dari gayat di atas boleh terjatuh. Kita kena bersedia,” kata Arteta.

Tambah pengurus dari Sepanyol itu, “Ia di luar kawalan, bukan di tangan kita. Apa yang boleh kita lakukan adalah mencuba yang sebaik mungkin.”

Mengenai peluang Arsenal sendiri untuk akhirnya menamatkan kemarau kejuaraan EPL selama 20 musim, ini jawapan Arteta.

“Saya mempunyai kepercayaan penuh terhadap pasukan saya, mereka ada mentaliti yang bagus. Ada lebih separuh musim untuk diharungi, malahan City sendiri pun masih ada peluang dalam keadaan ini. Seperti saya kata, konsistensi adalah kunci.”

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!