Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Sharil Mokhtar bersetuju dengan pandangan bahawa penswastaan bukan punca kebanyakan pasukan Liga Malaysia bergelut dan akhirnya terpaksa ‘tutup kedai’.
Tegas Sharil, masalah sebenar adalah kerana kelemahan dalaman, iaitu pengurusan yang tidak cekap, terutama di dalam aspek menguruskan dana dan bukan kerana dasar penswastaan Liga Malaysia.
“Kalau kita imbas kembali, perubahan dari FA ke FC itu adalah keperluan untuk kita bersaing di peringkat lebih tinggi. Jadi, kegagalan itu bukan datang dari penswastaan, tapi dari kelab yang tak mampu uruskan diri mereka,” katanya dipetik dari FlashSukan.
Pandangan beliau itu seiring dengan apa yang selalu diperkatakan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sejak pemisahan total FA ke FC berlaku, satu persatu pasukan berkubur antaranya Felda United, PJ City, Kelantan FC dan kini masa depan beberapa pasukan seperti Perak, Kedah Darul Aman, Sri Pahang serta Kelantan Darul Naim FC masih menjadi tanda tanya.
Baca Juga: “Bukan Salah Penswastaan, Tetapi Tidak Dilaksanakan Dengan Betul”
Tambah Sharil lagi, dana dan pengurusan perlu bergerak seiring kerana tanpa sokongan kewangan yang stabil, strategi sehebat mana pun sukar untuk direalisasikan.
Beliau juga mengakui dalam konteks Selangor FC, kelab itu antara yang bertuah apabila masih mendapat sokongan padu syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti MBI Selangor dan PKNS yang turut menjadi pemegang saham utama.
“Selangor FC antara kelab yang beruntung. Tapi kelab lain seperti KDA FC, Sri Pahang, Perak… mungkin kurang bernasib baik. Kalau dana kita kurang, kita kena belanja ikut kemampuan,” tambahnya.
Kenyataan ini menjadi satu tamparan halus buat semua pengurusan kelab agar tidak menjadikan penswastaan sebagai kambing hitam, sebaliknya lebih fokus kepada strategi menjana dana lestari agar terus berdaya saing dalam kancah bola sepak moden.