FAM sudah memulakan penswastaan dengan baik, tetapi masalah timbul apabila tanggungjawab diserahkan kepada pihak lain di bawah MFL.
“Bukan Salah Penswastaan, Tetapi Tidak Dilaksanakan Dengan Betul,” – demikian tegas mantan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed.
Justeru, Firdaus yang juga individu bertanggungjawab mengerakkan dasar penswastaan Liga Malaysia atas kapasiti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Task Force Pelesenan Kelab Profesional FAM pada 2018 tidak bersetuju ia menjadi punca banyak kelab berdepan masalah kewangan kritikal hingga terpaksa gulung tikar.
Menurutnya langkah pengasingan antara Persatuan Bolasepak Negeri (FA) kepada Kelab Bolasepak (FC) secara sepenuhnya oleh FAM pada 2021 adalah tepat dan bermula dengan baik.
Tetapi masalah timbul apabila tanggungjawab itu diserahkan kepada pihak lain di bawah kawalan Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Beliau menegaskan aspek ‘pemantauan’ yang agak lemah menyebabkan kelab bergerak sendiri tanpa hala tuju dan panduan tepat.
“Saya ingat lagi, pada 2018 ketika itu Presiden FAM, Datuk (kini Tan Sri) Hamidin Mohd Amin meminta saya untuk membantu dan menggerakkan pelaksanaan dasar penswastaan apabila empat tahun sebelum itu FAM gagal untuk buat perkara terbabit.
“Saya diberi masa dua tahun oleh Datuk Hamidin untuk pastikan FA dan diasingkan. Alhamdulillah, dalam tempoh diberikan ditambah dengan wabak Covid-19, saya berjaya lakukan pengasingan secara total.
“Tetapi kemudiannya untuk fasa berikutnya, tanggungjawab itu diberikan kepada individu lain dan bukannya saya. Sebab itu saya sendiri tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka yang diberikan amanah untuk memastikan fasa kedua FC itu berjalan dengan baik.
“Sekarang sudah 2025 bila ada isu tunggakan gaji, jangan salahkan FC. Sebab apa saya cakap begitu, isu tunggakan gaji ini sebenarnya sudah jadi sebelum FC dasar penswastaan itu wujud lagi.
“Dulu sebelum Kelantan FC diambil alih oleh Zamsaham (Norizam Tukiman), KAFA (Persatuan Bolasepak Kelantan) sedang mengalami isu tunggakan gaji yang banyak. Sama juga dengan PAFA (Persatuan Bolasepak Perak), bila syarikat XOX masuk baharulah mereka bantu bayar tunggakan gaji pemain.
“Tapi selepas mereka ambil alih kelab ini sebagai FC sepenuhnya, siapa yang sepatutnya ‘memandu’ dan beri hala tuju sebenar untuk menggerakkan penswastaan ini.
“Persoalan saya, kenapa di Malaysia gagal, tetapi di negara luar elok saja penswastaan mereka?,” katanya dilaporkan Arena Metro.
Kata-kata Firdaus ada benarnya. Ini kerana selepas menjulang piala terakhir pada 2013, Kelantan di bawah KAFA berdepan masalah kewangan cukup teruk, tunggakan gaji mula berlaku menyebabkan Tan Sri Annuar Musa terpaksa meninggalkan jawatannya dalam keadaan berhutang jutaan ringgit.
Hutang-hutang yang dibayar Bibi Ramjani (bekas Presiden KAFA) dan Zamsaham adalah hutang peninggalan zaman Tan Sri Annuar Musa.
Tegas Firdaus lagi, dasar penswastaan perlu dilakukan pada 2018 apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ketika itu meminta FAM segera melaksanakan revolusi berkenaan bagi membolehkan kelab dari Malaysia beraksi di peringkat Asia.
“Kalau kita tak buat dasar penswastaan dulu, AFC takkan beri slot kepada Malaysia untuk bermain di ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elit) sekarang ini. Kita patut berbangga apabila melihat wakil negara seperti JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Selangor FC dapat main di peringkat Asia.
“Jadi bagi saya penswastaan liga tidak salah, cuma bagaimana ia dipantau dan laksanakan sahaja mengikut cara yang betul,” katanya.